Jumaat, 12 Julai 2019 | 1:09pm
MENTERI Besar, Datuk Ahmad Yakob. - Foto Syamsi Suhaimi

Kelantan sokong pentadbiran Tun M - Ahmad Yakob

KOTA BHARU: Kelantan menyokong Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusaha menunaikan janji dalam melaksanakan pelbagai projek pembangunan di negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, berkata Dr Mahathir kini dilihat menjunjung tinggi konsep federalisme apabila berusaha membantu membangunkan Kelantan walaupun ia ditadbir pembangkang, termasuk dalam pengurusan bekalan air dan program tebatan banjir.

“Dr Mahathir tak lihat dari segi kepartian, tapi dari segi kewajipan (Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri). Kita sokong Dr Mahathir (kerana junjung konsep federalisme),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah agama di Medan Ilmu di sini, hari ini.

Selasa lalu, Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan menerusi mesyuarat kali keduanya, memberi tumpuan kepada empat isu utama membabitkan pengurusan sumber air seperti banjir dan keperluan air bersih di negeri ini.

Pengerusi MTNg, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dilaporkan berkata, empat perkara yang diteliti ialah projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB), projek pembinaan Empangan Lebir, projek hidroelektrik di Nenggiri dan projek Skim Bekalan Air syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) di Merbau Condong, Machang.

Mengenai empat projek itu, Ahmad yang juga Pengerusi Bersama MTNg, berkata ia akan memberi faedah jangka pendek dan panjang kepada penduduk di negeri ini.

“Empat projek berkenaan terutama berkaitan pembinaan empangan bukan sahaja akan mengawal banjir, malah bakal menjadi sumber baharu bekalan air kepada Kelantan,” katanya.

Mengenai pelawaan Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa untuk PAS menyertai Pakatan Harapan (PH), Ahmad berkata, pihaknya telah menyediakan pelbagai program bagi menggerakkan Gagasan Sejahtera dan konsep Penyatuan Ummah antara parti itu dan beberapa parti lain termasuk UMNO.

“Kami ada program yang sesuai yang kami rangka untuk tawarkan kepada rakyat dan parti lain,” katanya yang juga Timbalan Mursyidul Am PAS. - BERNAMA

Berita Harian X