Jumaat, 12 Julai 2019 | 3:07pm
SETIAUSAHA Pemuda PH Johor merangkap Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, Azam Mektar. - Foto Ifwan Tun Tuah

'Belia sukar didekati dengan tindakan kerajaan negeri'

JOHOR BAHRU: Pemuda Pakatan Harapan (PH) Johor menganggap tindakan kontroversi kerajaan negeri mengubah pendirian beberapa kali berhubung isu had umur belia, menyukarkan mereka mendekati golongan itu di negeri ini.

Setiausaha Pemuda PH Johor, Azam Mektar, yang juga Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor, berkata tiada alasan kerajaan negeri menetapkan pendirian bercanggah dengan perundangan serta dasar Kerajaan Persekutuan.

“Tindakan kerajaan Johor ini hanya menyukarkan kami, Pemuda PH mahu pun komponen Pemuda gabungan parti PH sebagai jentera kerajaan untuk menerangkan dan melakukan kerja libat urus bersama belia.

“Faktanya, Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668) adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan sudah diluluskan di Dewan Rakyat yang disokong oleh Ahli Parlimen tanpa bantahan.

“Dengan sebab ini, tiada alasan kerajaan Johor mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan perundangan dan Akta 668 di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Pada 8 Julai lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilaporkan berkata, Kerajaan Johor mengekalkan had umur belia sehingga 40 tahun bagi memastikan pelan perancangan dirangka, khusus membabitkan golongan itu tidak terbantut pelaksanaannya.

Bagaimanapun, EXCO Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Sheikh Umar Baghrib Ali berkata mesyuarat EXCO yang bersidang menerima pindaan umur belia 15-30 tahun yang diluluskan Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, Sheikh Umar tidak lama kemudian mengumumkan kerajaan Johor mengekalkan semula usia belia sehingga 40 tahun.

Pada 3 Julai lalu, Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia (Pindaan) 2019 (Akta 668), antaranya menurunkan had umur belia daripada 40 tahun kepada 30 tahun.

999 dibaca
Berita Harian X