Jumaat, 12 Julai 2019 | 9:00pm
TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan pada sidang media sempena Mesyuarat Perwakilan Kali Ke 5 Tahun 2019 UMNO Bahagian Kota Bharu di Bangunan UMNO Negeri Kelantan. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar.

Kerajaan perlu beri kelonggaran parti masuk kolej, IPT

KOTA BHARU: Kerajaan perlu memberi kelonggaran kepada parti politik memasuki kolej dan institusi pengajian tinggi (IPT) bagi memberi pendedahan kepada anak muda mengenai sistem demokrasi dan politik diamalkan negara ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata tindakan itu perlu jika pindaan rang undang-undang menurunkan had umur mengundi daripada 21 kepada 18 tahun diluluskan.

Beliau berkata, tiada gunanya jika had umur mengundi dikurangkan, namun mereka tidak diberi pendedahan dan penerangan secukupnya sebelum mengundi nanti.

“Kita mengakui, jika had umur pengundi diturunkan sekali gus pertambahan pengundi semakin ramai dan ia bukan sahaja memberi cabaran kepada UMNO, tapi kepada parti lain juga bagi memastikan mereka diberi pendedahan.

“Kita tidak tahu mereka memahami sistem demokrasi atau tidak. Jadi macam mana kita nak dedahkan kepada mereka perlu difikirkan secara efektif dan ia membabitkan banyak kerja kepada kami untuk mendapatkan capaian kepada mereka.

“Justeru, kita perlu kerjasama daripada pihak kerajaan terutama Kementerian Pendidikan bagi memberi kelonggaran kepada parti politik dalam memberi penerangan dan pendedahan kepada anak muda ini,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Bharu, di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, semalam, yang dilaporkan berkata susulan penurunan had usia mengundi, dianggarkan jumlah pengundi akan bertambah sebanyak 500,000 setiap tahun dengan jangkaan 21 juta pemilih pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Katanya, ia memberikan isyarat kepada pimpinan parti politik terhadap kepentingan anak muda.

Mohamad berkata, beliau mengakui penurunan had umur mengundi akan memberi satu tugas berat kepada UMNO memandangkan pengundi berusia 18 tahun masih di kolej dan IPT, berbanding pengundi berusia 21 tahun ke atas sudah matang dan memahami serba sedikit mengenai politik.

Katanya, selepas pindaan rang undang-undang diluluskan, tugas UMNO akan bermula untuk mendekati anak muda supaya mereka dapat menerima pendedahan secara maksimum bagi memahami sistem demokrasi dan politik negara ini.

Berita Harian X