Sabtu, 13 Julai 2019 | 1:59pm
PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu hadir pada majlis perasmian Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Tumpat ke-4 di Kompleks Perpaduan, Tumpat. - Foto Fathil Asri

PH sasar tambah 30 kerusi Parlimen majoriti Melayu

TUMPAT: Pakatan Harapan (PH) menyasarkan pertambahan 30 kerusi Parlimen yang mempunyai majoriti Melayu untuk dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, berkata sasaran itu perlu diperoleh supaya kerajaan PH tidak lagi dituduh dikuasai hanya satu kaum.

Katanya, beliau yakin dengan kejayaan itu kerana berlaku pertambahan ahli dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), PKR dan AMANAH yang dilihat semakin ketara kebelakangan ini.

“Kita tidak mahu dituduh kerajaan yang mempunyai majoriti satu kaum. Jadi akan lebih harmoni apabila pertambahan 30 kerusi Parlimen Melayu lagi.

“Soal tempat bertanding, kita sudah ada (tiada perebutan) dan DAP hampir menang semuanya kerusi yang bertanding, cuma kita (PKR, AMANAH, BERSATU) belum banyak menang, terutama di Kelantan, Terengganu, Pahang dan beberapa kerusi di Kedah.

“Justeru, AMANAH, BERSATU dan PKR perlu tambah kerusi majoriti orang Melayu, kerana DAP sudah hampir semua kerusi dimenanginya,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamd merasmikan Mesyuarat Tahunan AMANAH Kawasan Tumpat ke-4 di Kompleks Perpaduan, di sini, yang turut di hadiri Pengerusi AMANAH Kelantan, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata, pihaknya menyasarkan lebih banyak cawangan dibuka di Kelantan dalam masa dua hingga tiga tahun lagi kerana berlaku pertambahan jumlah ahli di negeri ini.

“Apabila banyak cawangan, ahli ada pergantungan terutama menyelesaikan masalah masyarakat setempat.

“Kelantan antara negeri paling ramai pertambahan ahli AMANAH,” katanya.

Mengulas mengenai Islam yang dilihat semakin tercemar, Mohamad berkata, sikap pemimpin PAS sendiri, terutama yang digelar ulama mengeluarkan pelbagai kenyataan sehingga memberi kesan buruk kepada Islam.

“Sikap pemimpin terutama bergelar ulama yang bercakap akan memberi kesan kepada Islam. Kalau kita sendiri kesan hanya sedikit, namun tidak sekuat ulama bercakap,” katanya.

868 dibaca
Berita Harian X