Selasa, 16 Julai 2019 | 12:01pm
Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Muktamad Piagam UMNO-PAS ditangguh

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS menangguhkan proses memuktamadkan piagam kerjasama politik dua parti bagi menumpukan perhatian kepada urusan pindaan Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan di Dewan Rakyat, hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata piagam itu sepatutnya diputuskan malam ini oleh pemimpin kedua-dua parti.

Bagaimanapun, katanya, ia terpaksa ditangguhkan kerana terbabit dengan proses pengundian bagi memutuskan pindaan RUU itu, malam ini.

“Kita belum muktamadkan piagam antara PAS dan UMNO. Sepatutnya kedua-dua parti mesyuarat malam ini tetapi tertangguh lagi sebab ada pengundian Pindaan Perlembagaan sampai malam.

“Kita akan buat secepat mungkin dalam bulan ini juga manakala kandungannya belum dimuktamadkan.

“Ia akan dimaklumkan selepas dimuktamadkan kerana ia mungkin berubah-ubah,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, sebelum ini berkata kedua-dua parti akan memuktamadkan piagam kerjasama hari ini.

Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, sebarang keputusan jawatankuasa induk dan teknikal Piagam UMNO-PAS hanya boleh dimuktamadkan presiden kedua-dua parti.

Langkah terbabit bagi memastikan proses kerjasama politik dapat diteruskan kepada peringkat perjanjian politik.

1491 dibaca
Berita Harian X