Selasa, 16 Julai 2019 | 8:58pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. - Foto Asyraf Hamzah

Jangan jadi munafik - Azmin

Kuala Lumpur: Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membidas Ketua Penerangan parti, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin, yang mendesak pemimpin dan penjawat awam terpalit dengan video lucah supaya bercuti.

“Jangan jadi munafik,” kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu ringkas kepada media selepas sidang Dewan Rakyat ditangguhkan, hari ini.

Mohamed Azmin diminta mengulas kenyataan Shamsul Iskandar hari ini yang mendesak pemimpin politik dikaitkan dengan tuduhan salah laku membantu pihak berkuasa supaya ‘bercuti sementara’ hingga siasatan selesai.

Bulan lalu, PKR memecat Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, kerana secara terbuka menuduh pucuk pimpinan parti terbabit rasuah tanpa bukti.

Haziq Abdullah mengakui dirinya sebagai pelaku dalam video lucah dua lelaki yang dikaitkan dengan seorang menteri.

Dalam satu kenyataan media pagi tadi, Shamsul Iskandar yang juga Timbalan Menteri Industri Utama, antara lain berkata, tindakan bercuti sementara itu penting untuk memudahkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan.

“Ia penting untuk memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan tugas dengan bebas dan adil, selain menunjukkan pemimpin ini tidak cuba berselindung di sebalik jawatan tinggi, kedudukan dalam parti, apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai,” katanya.

5551 dibaca
Berita Harian X