Rabu, 17 Julai 2019 | 5:14pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail

PKR tidak campur tangan kes penahan pemimpin parti

KUALA LUMPUR: PKR tidak akan campur tangan dalam siasatan pihak berkuasa susulan penahanan seorang pemimpin parti peringkat negeri, berkaitan kes penyebaran video lucah babitkan bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya menggesa ruang yang sewajarnya diberikan kepada pihak berkuasa untuk menjalakan siasatan.

Katanya, siasatan yang telus dan adil merangkumi dua persoalan penting iaitu kesahihan video serta kesalahan menyebarkan video lucah berkenaan.

“Siasatan ini perlu menyiasat kesahihan video yang disebarkan dengan mengenal pasti pelaku di dalam video mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan dan kesalahan menyebarkan video lucah di bawah Seksyen 292(A) Kanun Keseksaan selain Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Siasatan pihak berkuasa haruslah merungkai kedua-dua perkara ini bagi mematikan isu terbabit daripada terus menjadi perbualan orang ramai.

“Apabila tindakan undang-undang diputuskan oleh pihak berkuasa, KEADILAN akan mengambil tindakan mengikut Perlembagaan parti ke atas mana-mana anggota yang didapati terbabit di dalam mana-mana kesalahan di atas,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga mengingatkan pihak berkuasa supaya siasatan wajar telus dan perlu dilaksanakan dalam merungkai dua persoalan itu.

Semalam, Pengerusi PKR sebuah negeri antara tiga ditahan berhubung kes pembikinan dan penyebaran video lucah membabitkan Haziq dengan individu politik.

Pemimpin politik negeri berusia 37 tahun itu ditahan bersama dua rakannya oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah rumah teres di Pasir Gudang, Johor.

Berita Harian X