Jumaat, 19 Julai 2019 | 6:56pm
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Eizairi Shamsudin
SETIAUSAHA Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto Eizairi Shamsudin

Sesi pemukiman PKR pentas terbaik selesai perbezaan pandangan

PUTRAJAYA: Mana-mana pemimpin PKR termasuk Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin, yang tidak berpuas hati dengan kemelut melanda parti itu boleh meluahkannya pada sesi pemukiman PKR bermula malam ini.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata sesi pemukiman di Port Dickson selama tiga hari itu mampu menjadi pentas terbaik buat mereka untuk mencari titik penyelesaian.

Beliau berkata tindakan Zuraida mengeluarkan kenyataan hampir setiap hari berhubung isu membabitkan parti tidak akan membantu menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Zuraida adalah pemimpin kanan parti, beliau juga adalah peserta dalam sesi pemukiman ini. Jadi, adalah lebih molek, lebih cantik apa-apa pandangan mengenai permasalahan parti disuarakan semasa pemukiman tiga hari ini.

“Saya suka menganjurkan supaya beliau (Zuraida) dapat bersama dalam pemukiman tiga hari dan sampaikan, kalau maksudnya crack (perpecahan), apa hujahnya dan kalau berlaku, apa cara nak mengubatnya.

“Ini lebih baik daripada membuat ucapan setiap hari, yang tidak membantu melegakan keadaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan program Food Bank Malaysia @Pasar Tani di Pasar Tani Putrajaya di Presint 2 di sini, hari ini.

Zuraida semalam mengeluarkan kenyataan mengakui wujud perpecahan dalam PKR membabitkan pemimpin nombor satu dan nombor dua parti itu sejak penyebaran video seks

mengaitkan Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Justeru, beliau menggesa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjalankan tugas mengukuhkan kembali parti yang sedang menghadapi keretakan.

Selain itu, Saifuddin berkata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH), akan turut menyampaikan ucapan pada sesi pemukiman itu malam ini.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X