Rabu, 24 Julai 2019 | 6:33pm
GUNASEKARAN @ Chegu Sekar (tengah) bersama rakan menunjukkan laporan terhadap Pengerusi MPN Perak merangkap Setiausaha Politik Presiden Farhash Wafa Salvador serah kepada Lembaga Disiplin PKR, di Ibu Pejabat PKR, Tropicana. NSTP/Owee Ah Chun.
GUNASEKARAN @ Chegu Sekar (tengah) bersama rakan menunjukkan laporan terhadap Pengerusi MPN Perak merangkap Setiausaha Politik Presiden Farhash Wafa Salvador serah kepada Lembaga Disiplin PKR, di Ibu Pejabat PKR, Tropicana. NSTP/Owee Ah Chun.

PKR digesa ambil tindakan pada Farhash

PETALING JAYA: Seorang ahli PKR hari ini membuat laporan kepada Lembaga Disiplin parti itu menggesa Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak, disiasat dan dikenakan tindakan tegas.

Bekas Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, K Gunasekaran, berkata laporan itu menyusuli tindakan Farhash mengeluarkan kata kesat dan fitnah terhadap Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Gunasekaran menegaskan, beliau membuat aduan itu secara sukarela tanpa paksaan mana-mana pihak, supaya tiada mana-mana ahli atau pemimpin PKR bebas melanggar peraturan parti secara terang-terangan.

“Seorang Ketua Majlis Pimpinan Negeri (MPN) seharusnya faham dan menghormati Timbalan Presiden PKR, apatah lagi polis sudah jelaskan Azmin tidak ada dalam video lucah yang tersebar sebelum ini.

“Namun, sebaik dibebaskan daripada tahanan reman semalam, beliau yang juga Setiausaha Politik (Presiden PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim, sanggup menjerit ‘Azmin semburit’ yang jelas tidak menghormati aspirasi PKR.

“Jadi, saya gesa Lembaga Disiplin dan Biro Politik PKR mengambil tindakan terhadap Farhash sebagai teladan pada ahli, termasuk pimpinan yang dilantik Presiden PKR, untuk menghormati pimpinan parti, khususnya yang dipilih ahli akar umbi,” katanya kepada pemberita di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Semalam, Farhash Wafa Salvador, ketika berucap di hadapan puluhan penyokongnya Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, melaungkan ‘Azmin semburit’ dan ‘Anwar PM Kelapan’, selepas dibebaskan daripada tahanan polis.

Terdahulu, Gunasekaran menyerahkan aduannya kepada Sekretariat Lembaga Disiplin PKR, Julailey Jemadi, yang memaklumkan tempoh proses aduan terbabit adalah sehingga 90 hari.

Gunasekaran kemudian menggesa aduan itu diproses secepat mungkin kerana bukti kenyataan kesat Farhash Wafa Salvador itu dirakam dan dilaporkan pelbagai media.

“Sebelum ini sewaktu pemilihan, ada ahli dipecat dalam tempoh 24 jam, manakala bekas Ketua AMK Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz, dipecat selepas kira-kira 14 hari.

“Jadi, saya beri tempoh 48 jam kepada Lembaga Disiplin PKR untuk selesaikan aduan ini,” katanya, selain mendakwa aduannya disokong akar umbi parti dari seluruh negara.

Sementara itu, Naib Ketua Cabang PKR Ampang, D Nallan, yang hadir menyokong Gunasekaran, menggesa Farhash dipecat daripada parti.

“Pecatlah, tunggu apa lagi. Kalau tak ada bukti bolehlah tunggu 90 hari, tapi dalam kes ini rakaman kenyataan Farhash ada dalam portal. Tak perlu tunggu 90 hari,” katanya.

Farhash dibebaskan dengan jaminan polis bersama seorang lagi individu yang ditahan bersamanya di Masai, Johor selepas tempoh tahanan reman berakhir semalam.

Kedua-dua mereka ditahan pada 16 Julai lalu bagi membantu siasatan berhubung video lucah yang dikaitkan dengan Azmin, juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi.

Turut dibebaskan semalam adalah Haziq Abdullah, yang sebelum ini mengaku sebagai lelaki dalam video lucah berkenaan, selepas ditahan bersama lima individu dalam serbuan ke atas beberapa lokasi di sekitar Lembah Klang pada 14 Julai lalu.

Berita Harian X