Rabu, 24 Julai 2019 | 10:44pm
Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil bercakap kepada pemberita selepas Mesyuarat PKR yang diadakan di Petaling Jaya. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Farhash, beberapa individu dirujuk ke lembaga disiplin

PETALING JAYA: Lembaga Disiplin PKR akan meminta beberapa individu termasuk Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak, membuat penjelasan berhubung ungkapan jelek yang dilemparkan kepada Timbalan Presiden parti itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Pengarah Komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil, berkata lembaga disiplin maklum mengenai gesaan ahli parti meminta siasatan dibuat berkait kenyataan Farhash itu.

“Berkenaan isu disiplin, biro politik sudah memaklumkan kepada lembaga disiplin untuk hubungi beberapa anggota parti termasuk Farhash. Bukan Farhash seorang, ada individu lain juga.

“Kita tunggu kenyataan penuh lembaga disiplin. Ini adalah tugasan biasa (lembaga disiplin) bila timbul apa-apa isu berkaitan disiplin (ahli),” katanya ditemui selepas tamat mesyuarat biro politik PKR di ibu pejabat parti itu, di sini.

Beliau berkata mesyuarat biro politik juga tidak membuat sebarang ketetapan dan keputusan berkenaan kenyataan Farhash itu.

Mesyuarat itu dipengerusikan sendiri Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, turut dihadiri Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Semalam, Farhash, yang juga Setiausaha Politik Anwar, ketika dibebaskan daripada tahanan polis mengakhiri ucapan di hadapan sekumpulan penyokongnya dengan laungan ‘Azmin semburit’.

Susulan itu, petang tadi, sekumpulan ahli PKR diketuai Bekas Timbalan Ketua Penerangan PKR Selangor, K Gunasekaran, menghantar laporan kepada Sekretariat Lembaga Disiplin PKR, Julailey Jemadi, meminta supaya Farhash dikenakan tindakan disiplin.

Sementara itu, Ahmad Fahmi berkata, sokongan padu diterima Anwar daripada pimpinan cabang dan negeri turut dibangkitkan dalam mesyuarat berkenaan.

Katanya, setakat ini 80 peratus pimpinan cabang menyatakan kesetiaan dan sokongan kepada Anwar menerajui parti dan kepemimpinan.

Berita Harian X