Ahad, 28 Julai 2019 | 5:38pm
TIMBALAN Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kiri) dan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin.

Mohamed Azmin, Zuraida tidak hadir mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat PKR

PETALING JAYA: Kepemimpinan PKR diberi peringatan untuk hadir pada semua mesyuarat parti mengikut jadual yang diedarkan dua hingga tiga bulan lebih awal.

Pengarah Komunikasinya, Fahmi Fadzil, berkata peringatan itu disampaikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berulang kali, termasuk pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang berlangsung di ibu pejabat parti, di sini hari ini.

Mesyuarat bermula jam 1.30 tengah hari menyaksikan beberapa pemimpin tidak hadir, termasuk Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali serta Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Selangor yang juga Menteri Besar, Amirudin Shari.

Selain itu, Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dan Ketua Wanita PKR, Haniza Talha.

Pengerusi Majlis Penasihat PKR yang juga Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dilihat hadir pada mesyuarat berkenaan sebelum beredar pada kira-kira jam 2.20 petang.

Fahmi berkata, peringatan sama bagi menjamin kelancaran dan penyusunan agenda parti itu, turut dihebahkan menerusi media sosial dan beberapa saluran tertentu kepada semua kepemimpinan tertinggi PKR.

“Takwim atau jadual untuk mesyuarat, termasuk MPP dan Biro Politik diedarkan awal, jadi kita tahu sekurang-kurangnya dua hingga tiga bulan ke depan bahawa ini tarikhnya.

“Beri keutamaan kepada mesyuarat ini supaya kita boleh sebagai satu parti menyelaraskan dasar dan keputusan dengan lebih jitu serta baik.

“Peringatan ini dikeluarkan kepada semua kepemimpinan, terpulang kepada parti menerusi Biro Politik untuk ambil tindakan seterusnya (terhadap pemimpin gagal hadir),” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.

Fahmi berkata, Mohamed Azmin setakat ini tidak mengemukakan sebarang sebab khusus mengenai ketidakhadirannya pada mesyuarat hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beberapa ahli MPP sudah memberikan sebab tidak dapat hadir kerana perlu memikul tugas rasmi, termasuk Menteri Besar Selangor.

“Saya jangkakan mungkin lebih dua pertiga (daripada 65 ahli MPP) hadir kerana tiba sedikit lewat, justeru tidak pasti siapa lagi yang hadir atau sudah balik.

“Mungkin kemudian saya boleh dapatkan angka (kehadiran), tapi saya lihat kehadiran baik, cuma ada yang tidak dapat hadir kerana tugas rasmi,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi mengesahkan, Biro Politik PKR belum mengedarkan surat rasmi kepada Pengerusi MPN PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Mubarak, Amirudin dan beberapa pemimpin lain berhubung isu video lucah sebelum ini.

Sementara itu, beliau berkata, resolusi yang diluluskan pada program pemukiman PKR di Port Dickson pada minggu lalu, sudah diedarkan kepada 20 pemimpin parti yang tidak hadir.

Katanya, mereka diberi masa bagi meneliti intipatinya, sebelum memutuskan untuk menandatangani dokumen berkenaan atau sebaliknya.

Berita Harian X