Selasa, 30 Julai 2019 | 12:39pm
Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Datuk Takiyuddin Hasan. - NSTP

PAS-UMNO: Belum ada keputusan berkaitan kerusi

KUALA LUMPUR: UMNO dan PAS menyatakan kedua-dua parti itu tidak pernah berbincang berkaitan pembahagian kerusi pilihan raya sehingga ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hasan dalam kenyataan bersama hari ini berkata piagam UMNO-PAS yang diluluskan oleh Jawatankuasa Perunding kedua-dua parti tidak pernah menyentuh soal pembahagian kerusi.

Katanya, sebaliknya UMNO dan PAS mempunyai mekanisma tersendiri mengenai perkara itu.

“Justeru, semua pihak diminta tidak membuat sebarang spekulasi liar mengenai piagam UMNO-PAS sebaliknya menunggu hari pelancarannya pada 14 September nanti,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai reaksi kepada satu laporan portal yang memetik sumber sebagai berkata PAS dan UMNO bersetuju untuk membahagikan kerusi pilihan raya 50-50 pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Laporan itu memetik sumber berkata keputusan itu diambil bagi mengelak pertembungan sesama sendiri.

575 dibaca
Berita Harian X