Isnin, 5 Ogos 2019 | 12:47am
SETIAUSAHA Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya (kanan) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim.

BERSATU belum terima borang penyertaan Ismail - SU Agung

KANGAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) belum menerima borang penyertaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim.

Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Marzuki Yahya, berkata adik kepada Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim itu juga tidak pernah bertemu dengan beliau bagi menyatakan hasrat untuk menyertai BERSATU.

"Saya tidak menerima borang permohonan daripada beliau dan saya perlu periksa dengan bahagian keahlian sekiranya dia ada memohon secara dalam talian.

"(Bagaimanapun) sehingga sekarang saya mengesahkan tidak menerima sebarang permohonan daripada beliau," katanya ketika dihubungi BH Online malam tadi.

Marzuki diminta mengulas laporan media yang memetik Ismail sebagai berkata beliau sudah menyertai BERSATU semalam.

Ismail dilaporkan berkata, selepas setahun setengah memerhati dan menilai, beliau akhirnya membuat keputusan itu meskipun kepemimpinan BERSATU belum mengumumkan secara rasmi mengenai perkara itu.

Ditanya tujuan ADUN Tambun Tulang itu membuat pengumuman itu, Marzuki berkata beliau tidak tahu langsung mengenai tindakan Ismail.

"Saya tidak tahu, biarlah saya periksa dahulu dengan bahagian keahlian esok (hari ini),” katanya.

Pada 21 Jun tahun lalu, Ismail mengumumkan keluar UMNO kerana hilang keyakinan kepada pucuk pimpinan parti.

Beliau juga pernah dikaitkan menyertai PKR selepas gambarnya tersebar menyerahkan borang menyertai PKR Kedah, namun beliau menafikan dan menyatakan ia hanyalah gurauan.

Bagaimanapun, semalam, akhbar The New Straits Times melaporkan Ismail, 59, sebagai mengumumkan menyertai BERSATU.

"Ia bukan satu keputusan yang saya buat dalam masa satu malam, saya telah memikirkannya masak-masak selama hampir satu setengah tahun, selepas tidak menjadi anggota mana-mana parti politik.

"Saya bercakap dengan ramai ahli politik yang berpengalaman, antaranya Tun Daim Zainuddin dan beberapa orang lain yang meletakkan pertimbangan kebaikan dan keburukan terhadap apa yang berlaku.

“Jadi, saya membuat keputusan dan mulai hari ini (semalam) saya secara rasminya menjadi anggota BERSATU," beliau dipetik sebagai berkata.

Ismail juga berkata beliau menghadapi masalah untuk melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat di kawasannya tanpa mewakili mana-mana parti.

“Walaupun agensi kerajaan memberikan kerjasama, saya berpendapat sesetengah isu yang dibawa kepada saya lebih mudah diselesaikan jika saya mewakili sesebuah parti,” katanya.

Ismail juga berkata beliau yakin Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang berpengalaman akan berupaya memulihkan ekonomi negara dalam tempoh terdekat.

Berita Harian X