Khamis, 8 Ogos 2019 | 3:17pm
Pengerusi Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem Pilihan Raya dan Undang-undang, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman pada majlis dialog bersama parti-parti politik, di Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK). - Foto Fathil Asri

Pendidikan pengundi muda antara cadangan ERC

KOTA BHARU: Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) mencadangkan pendidikan berstruktur terhadap pengundi muda kerana golongan itu merangkumi lebih separuh daripada jumlah pengundi.

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, berkata kira-kira 55 peratus daripada 23 juta pengundi berusia 35 tahun ke bawah direkodkan menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), selepas Perlembagaan Persekutuan dipinda bulan lalu.

Beliau berkata, pengundi berusia 18 tahun perlu memahami secara terperinci mengenai demokrasi, hak asasi dan cara mengundi supaya mereka dapat keluar mengundi secara bertanggungjawab.

“Disebabkan 55 peratus ialah pengundi berusia 35 tahun ke bawah, ini bermakna keputusan menentukan kerajaan terletak di tangan mereka.

“ERC sedar dengan cabaran itu, akan menyediakan satu cadangan mengenai apa struktur yang perlu diwujudkan dari segi pendidikan supaya orang muda tidak kecewakan masyarakat umum, dalam pemilihan dengan mengundi secara matang.

“Ini rangka yang besar dan perlu diberi penekanan kerana ia bukan membabitkan tanggungjawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) saja, sebaliknya masyarakat perlu wujudkan institusi sesuai di peringkat sekolah serta universiti supaya mereka dididik daripada bawah lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Libat Urus Terbuka Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Kota, di sini, hari ini.

ERC ditubuhkan oleh kerajaan pada Ogos 2018, dianggotai 20 ahli pelbagai latar belakang dan diberi masa selama dua tahun untuk melakukan kajian penambahbaikan pilihan raya.

Abdul Rashid berkata, beliau kagum dengan pelan pendidikan di negara Barat apabila anak muda sudah dilatih mengenai hak asasi dan demokrasi sejak daripada peringkat awal.

“Kita sedar cabaran ini amat besar dan kita minta semua pihak turut menjalankan tanggungjawab ini. Jika pengundi muda salah pilih, kemungkinan ia akan menyebabkan keadaan huru-hara,” katanya.

101 dibaca
Berita Harian X