Khamis, 8 Ogos 2019 | 5:19pm
Takiyuddin Hassan. - Foto Sharifah Mahsinah Abdullah

18 Ahli Parlimen PAS tak sokong usul undi tak percaya kepada PM

KOTA BHARU: Semua 18 wakil rakyat PAS di Dewan Rakyat tidak akan menyokong sekiranya ada usul undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan, berkata gesaan pihak tertentu supaya Perdana Menteri yang dilantik mengikut Perkara 43(2) Perlembagaan Persekutuan, menetapkan tarikh peralihan kuasa kepada seseorang Ahli Parlimen lain, adalah tidak selaras dengan undang-undang.

“Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik Perdana Menteri daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya, mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli dewan.

“Ini adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong yang tidak memerlukan nasihat daripada mana-mana pihak.

“Selepas terlantik sebagai Perdana Menteri, jawatan itu hanya terlucut menerusi tiga keadaan iaitu Perdana Menteri meletakkan jawatan secara sukarela, Perdana Menteri hilang kelayakan sebagai Ahli Dewan Rakyat dan Perdana Menteri hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam konteks sekarang, sekiranya Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa beliau mendapat sokongan Ahli Dewan Rakyat sekurang-kurangnya majoriti mudah, secara tidak langsung membawa maksud Tun Dr Mahathir sudah hilang kepercayaan majoriti Ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Sekiranya ini adalah benar, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepatutnya segera mengadap Yang di-Pertuan Agung bagi menyembah maklum tentang perkara berkenaan.

“Beliau juga boleh membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 43(4), Perlembagaan Persekutuan.

“Sekiranya usul terhadap Perdana Menteri diluluskan, maka Perdana Menteri mempunyai dua pilihan, iaitu meletakkan jawatan ataupun menasihatkan Yang Di-Pertuan Agung supaya membubarkan Parlimen, yang mana Yang di-Pertuan Agung mempunyai kuasa mutlak untuk mempertimbangkan atau sebaliknya,” katanya.

Berita Harian X