Khamis, 8 Ogos 2019 | 7:07pm
Menteri Besar Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal (kanan) diiringi Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Ali Haji Ahmad, Hamid Selamat (dua, kanan) ketika melawat Kedai Kasih Awiyah selepas melancarkan Program Food Bank Yayasan Harapan Pontian.- Foto BERNAMA

Dakwaan MB Johor letak jawatan tidak berasas

ISKANDAR PUTERI: Khabar angin Datuk Dr Sahruddin Jamal mahu meletak jawatan sebagai Menteri Besar, tidak berasas.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Dzulkefly Ahmad, berkata dakwaan yang disebarkan oleh sebuah laman Facebook propembangkang itu, berbentuk provokasi dan mahu memberi gambaran buruk terhadap Dr Sahruddin.

Katanya, dakwaan itu sengaja disebarkan bagi mengelirukan rakyat kerana mesejnya seolah-olah menggambarkan kepemimpinan Dr Sahruddin lemah dan tidak dapat menangani masalah yang timbul di negeri ini.

“Sebenarnya beliau (Dr Sahruddin) amat komited. Walaupun ketika itu (isu pencemaran udara Pasir Gudang kali kedua) beliau baru sahaja pulang daripada menunaikan umrah, beliau terus turun ke lapangan bersama agensi lain yang berkaitan.

“Kami (EXCO) akan berbincang dengan Menteri Besar terlebih dahulu sama ada perlu untuk membuat laporan polis.

“Saya difahamkan oleh polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), ada pihak sudah membuat laporan berkaitan beberapa artikel yang dikeluarkan di laman Facebook terbabit sebelum ini.

“Oleh itu, saya harap polis dan SKMM mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan tujuh ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha oleh Country Garden Pacificview Sdn Bhd (CGPV) di Masjid Jamek Tanjung Kupang, Gelang Patah, di sini, hari ini.

Semalam, Dr Sahruddin menafikan beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar dan menyifatkan dakwaan itu sebagai khabar angin semata-mata.

Berita Harian X