Jumaat, 9 Ogos 2019 | 7:30pm
Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh diiringi Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Pagoh Datuk Tahir Mohd Taat (dua, kiri) melihat lembu-lembu yang akan diserahkan kepada para penerima pada Majlis Penyerahan Lembu Korban Parlimen Pagoh di Taman Pagoh Jaya hari ini. - Foto BERNAMA

Kenapa baru sekarang Najib hendak dedahkan - Muhyiddin

MUAR: Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, hari ini mempersoalkan motif bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang baru sekarang hendak mendedahkan pernah menerima ancaman peluru daripada penembak tepat di pejabatnya di UMNO Bahagian Pekan yang didakwa berlaku pada 2017.

Muhyiddin berkata, ini kerana kejadian itu berlaku ketika Najib masih memegang jawatan Perdana Menteri yang sepatutnya beliau memandang berat kes berkenaan dan meminta pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

“Saya ada baca kenyataan yang beliau keluarkan mengenai peristiwa yang dikatakan berlaku pada November 2017. Apa yang saya ingat, ketika itu beliau masih Perdana Menteri dan kalau ada peristiwa ditembak oleh sniper (penembak tepat) atau sesiapa pun.

“Persoalan berbangkit ialah kenapa (kes) timbul sekarang. Kedua, apa beliau buat, dan lebih penting apa Menteri Dalam Negeri yang juga Timbalan Perdana Menteri beliau buat?

“Apa yang polis buat ketika itu kalau ini adalah suatu perbuatan yang agaknya berniat jahat, tujuannya untuk assassination (pembunuhan). Ini bukan satu perkara main-main, sepatutnya beliau memandang berat waktu itu dan meminta pihak berkuasa yang memang di bawah kekuasaan beliau sebagai Perdana Menteri untuk membuat siasatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lembu Qurban Parlimen Pagoh di Taman Pagoh Jaya di sini, hari ini.

Pada program Wacana Ilmu Hard Truth: Cash is King di Menara Datuk Onn, Najib mendedahkan pernah menerima ancaman peluru yang dihantar ke pejabatnya di UMNO Bahagian Pekan sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, penembak yang tidak dikenali dan masih bebas itu menggunakan senjata jenis sniper dan menyasarkan pada sudut cermin pada jarak 200 meter.

Bagaimanapun beliau tidak berada di lokasi kejadian ketika itu.

Muhyiddin berkata, pihaknya tidak akan memandang ringan perkara berkenaan kerana ia adalah sesuatu isu yang sangat serius.

“Kita boleh siasat dan mungkin cari sebab atau punca serta kenal pasti siapa yang terbabit dalam kes itu.

“Saya juga mengarahkan supaya pihak polis supaya menyiasat perkara itu kerana ia adalah hal yang sangat berat dan serius,” katanya.

11303 dibaca
Berita Harian X