Sabtu, 14 September 2019 | 5:51pm
Ahmad Zahid bersama Abdul Hadi dan pemimpin kanan UMNO dan PAS berdiri mengangkat tangan selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di PWTC, Kuala Lumpur. - NSTP/Aizuddin Saad

Piagam Muafakat Nasional UMNO, PAS dimeterai

KUALA LUMPUR: Piagam Muafakat Nasional yang dimeterai UMNO dan PAS hari ini, antara lain bersetuju membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif Islam dan Melayu tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum serta kesejahteraan negara.

Elemen berkenaan terkandung dalam piagam yang ditandatangani pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Berikut adalah kandungan Piagam Muafakat Nasional yang ditandatangani Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu berbunyi:

Dengan izin Allah SWT, sesungguhnya UMNO dan PAS dengan setulus hati mengisytiharkan pembentukan suatu Muafakat Nasional yang membawa agenda penyatuan ummah bagi mensejahterakan Malaysia yang majmuk.

Maka dengan ini, UMNO dan PAS, menginsafi kewajipan untuk:

1. Menjunjung dan mempertahankan keluhuran Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin pembentukan negara, Islam sebagai agama Persekutuan, kedaulatan Raja-Raja Melayu, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta kepentingan sah kaum lain, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta menjamin kepentingan masyarakat majmuk terpelihara.

2. Memperkukuhkan Muafakat Nasional melalui amalan musyawarah yang membabitkan pelbagai latar agama, kaum dan budaya demi kepentingan negara.

3. Memperkasakan agenda Islam, Melayu dan Bumiputera secara tuntas dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan demi membangunkan watan yang sejahtera.

4. Membentuk kerjasama dengan mengembangkan naratif (Islam dan bangsa Melayu) tanpa menafikan kepelbagaian agama, kaum dan budaya sebagai paksi kepada kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

5. Mengikhtiarkan secara kolektif satu citra dan tawaran baharu untuk negara dalam meningkatkan tadbir urus yang baik, dasar pembangunan yang inklusif dan sejahtera serta pengagihan yang menyuburkan keadilan sosial merentasi batas warna kulit dan anutan.

Justeru, marilah kita semua rakyat berganding bahu mendukung Muafakat Nasional demi Malaysia yang sejahtera.

Berita Harian X