Ahad, 15 September 2019 | 11:29pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Tak faham kerjasama antara UMNO, PAS

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan PAS, sedangkan parti itu sebelum ini pernah menggelarkan UMNO sebagai 'kafir'.

"Saya tidak faham bagaimana UMNO boleh bekerjasama dengan PAS sebab UMNO itu 'kafir'," katanya pada sidang media selepas menyaksikan The Putrajaya Boat Race 2019, di sini, hari ini.

Perdana Menteri ditanya mengenai piagam kerjasama yang dinamakan Piagam Muafakat Nasional dimeterai kedua-dua parti itu semalam.

Beliau berkata, kerjasama antara UMNO dan PAS itu jelas dibuat atas dasar perkauman dan agama meskipun kepemimpinan UMNO menyangkal ia tiada kaitan dengan dua perkara itu.

Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, apa yang diperkatakan kedua-dua parti itu perlu dibuktikan dengan perbuatan.

"Apa yang kita buat itu penting. Jika anda berada di sana untuk membangkitkan perasaan perkauman, saya fikir itu salah," katanya.

Mengenai kehadiran Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam majlis bacaan yasin dan doa selamat sempena sambutan ulang tahun ketiga penubuhan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) di Shah Alam, Khamis lalu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi BERSATU berkata, ramai pemimpin terkemuka Pakatan Harapan (PH) turut dijemput.

Ditanya sama ada itu isyarat bahawa Mohamed Azmin akan menyertai parti berkenaan, beliau berkata, Timbalan Presiden PKR itu tidak pernah menghantar borang permohonan.

"Dia tak buat permohonan. Kalau ada permohonan, kita timbanglah," katanya.

Berita Harian X