Khamis, 3 Oktober 2019 | 3:57pm
Nik Nazmi (dua dari kanan) pada sidang media di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun
Nik Nazmi (dua dari kanan) pada sidang media di ibu pejabat PKR, di Petaling Jaya, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

'Selesaikan perbezaan ketara jumlah pengundi kerusi Parlimen'

PETALING JAYA: Penyelesaian terhadap perbezaan ketara jumlah pengundi bagi kerusi Parlimen perlu diberi perhatian oleh Jawatankuasa Pembaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC).

Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata perkara itu penting dalam usaha menambah baik perjalanan pilihan raya di negara ini.

Berdasarkan sistem sedia ada, katanya, kerusi memiliki jumlah pengundi paling sedikit seperti Putrajaya dilihat memberi manfaat kepada Barisan Nasional (BN), manakala sebaliknya terhadap Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu, beliau berkata, sebarang perubahan terhadap sistem Parlimen yang diamalkan ketika ini memerlukan perbincangan dan persetujuan semua parti politik.

Katanya, perlu ada keseimbangan antara perkadaran dengan saiz kerusi atau jumlah pengundi di kawasan terbabit.

“Implikasi terhadap perubahan sistem Parlimen adalah besar. Saya setuju sistem yang ada sekarang perlu diperbaiki, cuma macam mana dan sebagainya perlu dibincangkan lebih lanjut.

“Perlu ada perbincangan serius antara pemegang taruh untuk melihat penyelesaian terbaik kepada cadangan mengubah sistem pilihan raya atau Parlimen... perlu diteliti implikasi kepada pemahaman rakyat,” katanya pada sidang media di ibu pejabat PKR, di sini, hari ini.

Nik Nazmi yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa berkata, Indonesia antara negara yang mengguna pakai sistem perwakilan berkadar tetapi bukan mudah untuk mendidik rakyat memahami sistem itu.

Semalam, ERC mencadangkan dua sistem pilihan raya dilaksanakan di negara ini.

Menerusi dua sistem itu, pilihan raya peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dikekalkan dengan sistem ‘first past the post’, manakala kawasan Parlimen menggunakan sistem ‘proportional representative’ (perwakilan berkadar).

Pengerusi ERC, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman, dilaporkan berkata pilihan raya bagaimanapun tetap dijalankan serentak seperti amalan selama ini dengan kertas undi memaparkan nama calon bagi peringkat DUN dan parti untuk kawasan Parlimen.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X