Jumaat, 4 Oktober 2019 | 2:57pm
MUHYIDDIN merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor ketika sidang media di Pejabat Bersatu, Pagoh Muar. - Foto BERNAMA
MUHYIDDIN merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Johor ketika sidang media di Pejabat Bersatu, Pagoh Muar. - Foto BERNAMA

PRK Tanjung Piai: PH masih teliti calon sesuai

MUAR: Pakatan Harapan (PH) masih belum membuat keputusan mengenai calon yang akan diangkat bagi mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini.

Pengerusi PH Johor, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata bagaimanapun pihaknya sudah mempunyai beberapa nama sebelum dikemukakan kepada pucuk pimpinan tertinggi untuk diterima dan diputuskan sebagai calon kelak.

“Hari ini (Mesyuarat PH Johor) tak ada lagi (keputusan mengenai calon). Itu juga satu perkara yang kita ambil perhatian pada mesyuarat hari ini.

“Kita sudah ada beberapa nama-nama (sebagai calon) tetapi kita masih ada masa (untuk meneliti) dan selepas itu kita akan putuskan yang mana yang sesuai,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PH Johor di Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Pagoh di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Salahuddin Ayub; Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong; Pengerusi PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi AMANAH Johor, Aminolhuda Hassan dan Pengerusi BERSATU Johor, Mazlan Bujang.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden Majlis Presiden PH berkata, calon yang akan dipilih mewakili parti itu pada PRK Tanjung Piai terdiri daripada mereka yang popular, berhemah, berpendidikan dan mungkin juga anak tempatan kawasan berkenaan.

“Kita akan kemukakan kepada pimpinan tertinggi PH untuk diterima dan diputuskan kelak,” katanya.

Ditanya sama ada BERSATU akan bertanding pada PRK berkenaan, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU berkata, setakat ini pihaknya berpegang kepada apa yang diputuskan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU 14) yang lalu.

“Setakat ini kita berpegang dengan apa yang kita putuskan pada PRU lepas kecuali ada keputusan baharu yang dibuat oleh pihak pimpinan tertinggi.

“Kita kata kerusi (Parlimen Tanjung Piai) adalah kerusi yang ditandingi oleh BERSATU. Tetapi pada pertandingan esok (PRK Tanjung Piai) kita tak kata BERSATU kerana ini adalah PH,” katanya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, dari PH-BERSATU pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Dr Md Farid yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, pakar bius dari segi kerjaya, membantu PH merampas kerusi itu daripada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14, tahun lalu.

Allahyarham yang juga Timbalan Ketua BERSATU Bahagian Tanjung Piai, memperoleh 21,255 undi menewaskan Datuk Seri Wee Jeck Seng (BN-MCA) dan Nordin Othman (PAS) dengan majoriti 524 undi.

Jeck Seng mendapat 20,731 undi manakala Nordin, 2,962 undi.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X