Selasa, 8 Oktober 2019 | 7:31pm
Besar kemungkinan BN akan mempertaruhkan calon UMNO di kerusi Parlimen Tanjung Piai. - Foto hiasan

'BN mungkin letak calon UMNO'

KUALA LUMPUR: Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai peluang calon Pakatan Harapan (PH) kekal di kerusi Parlimen Tanjung Piai jika Barisan Nasional (BN) meletakkan calon UMNO disifatkan sebagai strategi perang saraf.

Pemerhati politik juga berpandangan kenyataan Pengerusi PH itu sekadar mengumpan BN supaya memilih calon MCA untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) pada 16 November ini.

Penganalisis politik, Azmi Hassan, berkata melihat senario semasa, besar kemungkinan BN akan mempertaruhkan calon UMNO di kerusi berkenaan.

Ini kerana, katanya, risiko BN tewas pada PRK itu lebih tinggi jika meletakkan calon MCA berbanding UMNO.

“Cubaan meletakkan calon MCA berkemungkinan menyebabkan BN kehilangan undi Melayu, manakala untuk mengharapkan undi Cina mengundi calon MCA adalah jauh sekali,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Azmi berkata, kenyataan Perdana Menteri itu spesifik kepada calon UMNO sehingga timbul tanda tanya dan persepsi bahawa kenyataan itu lebih menjurus kepada strategi gerak saraf.

Katanya, kekuatan PH di Tanjung Piai adalah pengundi Cina, manakala UMNO pula kepada pengundi Melayu.

“Tetapi jangan lupa calon PH besar kemungkinan Melayu dan ini akan beri sedikit tekanan kepada UMNO untuk menarik seramai mungkin pengundi Melayu,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik yang juga pensyarah Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, berkata kenyataan itu adalah perang psikologi supaya BN tidak berani meletakkan calon UMNO.

Beliau berkata, ia bagi membolehkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meraih undi dan sokongan pengundi Melayu.

Katanya, calon Melayu sama ada dari BERSATU mahupun UMNO mempunyai kelebihan memandangkan jumlah pengundi Melayu yang lebih ramai dengan sentimen isu Melayu/Islam yang semakin membara.

“Ramai pihak mahu melihat pertembungan antara calon Melayu, iaitu BERSATU dan UMNO buat masa ini. Walaupun kedua-dua pihak perlu meletakkan calon terbaik tanpa mengira kaum, pemilihan calon Melayu di Tanjung Piai tidak boleh dielakkan.

“Jika letak calon MCA, sokongan dan kekuatan tetap ada kerana orang Melayu ada semangat muhibah dengan bersedia memberi undi kepada calon Cina.

“Malah, Presiden PAS (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) menyatakan PAS akan sokong calon MCA. Saya fikir untuk PRK ini, berilah kepada calon UMNO. Untuk PRU-15, mungkin boleh pulangkan semula pada MCA,” katanya.

Semalam Dr Mahathir yakin calon PH boleh memenangi PRK Parlimen Tanjung Piai jika BN meletakkan calon UMNO.

Berita Harian X