Rabu, 9 Oktober 2019 | 12:20pm

Sertai BERSATU jika ikhlas martabat kedudukan Melayu, Islam - EXCO ARMADA

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan pemimpin pembangkang yang bersih disaran menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) jika mahu menjalin kerjasama menubuhkan kerajaan.

EXCO Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Muzzammil Ismail, berkata bukan hanya BERSATU yang perlu jujur dan ikhlas dalam memastikan kedudukan Melayu serta Islam dimartabatkan.

Sebaliknya, beliau yang juga Presiden Majlis Eksekutif Kelab Bunga Raya, berkata persoalan yang timbul sama ada Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu sanggup meninggalkan UMNO.

“Penyatuan hanya dapat berlaku dengan menjawab persoalan ini. Saya percaya percaturan menyingkirkan pemimpin yang korup adalah usaha yang jujur dan ikhlas demi memulihkan serta memperkasakan agenda masa depan Islam dan Melayu.

“Mustahil rakyat dapat menerima pemimpin korup seperti mana ditonjolkan sewaktu Pilihan Raya Umum yang lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muzzammil berkata, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, sedang sedaya upaya dengan kudrat dan tempoh masa yang masih ada untuk memulihkan negara terutama menyatukan pemimpin Melayu Islam baik daripada kerajaan mahupun pembangkang.

Beliau mendakwa dalam PAS masih ada yang menjadi proksi Datuk Seri Najib Razak.

“Kami (BERSATU) tidak dapat menerima perkara ini. Mereka harus membuat keputusan besar berkorban jawatan dan kepentingan masuk ke dalam BERSATU sebelum semuanya terlambat. Tok Mat (Mohamad) pemimpin baik.

“Saya faham kenapa persoalan beliau ajak BERSATU tubuh kerajaan. Ini hanyalah titik mula. Paling penting, semua pemimpin Melayu Islam yang bersih perlu berjiwa besar,” katanya.

Mohamad dalam kenyataan kelmarin, mempelawa Dr Mahathir menubuhkan sebuah kerajaan baharu sekiranya Perdana Menteri itu benar-benar ikhlas mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan Islam di negara ini.

Mohamad dilaporkan berkata kerajaan baharu itu boleh ditubuhkan dengan kerjasama BN, PAS serta parti dari Sabah dan Sarawak.

Bagaimanapun, pelawaan itu ditolak Dr Mahathir yang melihat tindakan itu tidak sesuai dengan keadaan semasa di negara ini yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Berita Harian X