Rabu, 9 Oktober 2019 | 1:06pm
NAIB Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah.

PAS bidas AMANAH anggap konflik Kashmir, Rohingya bukan isu agama

KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan kenyataan pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang melihat konflik di Kashmir dan Rohingya bukan isu agama sebagai dangkal dan tidak sensitif terhadap umat Islam.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus tidak memahami sepenuhnya asas utama isu yang membabitkan Islam dan umat Islam di luar negara.

Beliau berkata, kenyataan yang dibuat pemimpin parti yang mendakwa parti Islam itu begitu biadap terhadap bukan sahaja umat Islam di Kashmir dan Rohingya, malah umat Islam di seluruh dunia.

“Semua bukti menunjukkan tindakan India terhadap majoriti umat Islam di Jammu dan Kashmir kerana isu agama. Bertitik tolak daripada isu agama, maka timbul pelbagai isu yang lain seperti isu kemanusiaan, ekonomi dan sosial,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Hasanuddin di Dewan Rakyat dilaporkan menyatakan isu Kashmir, Palestin dan Rohingya bukan isu agama dan ingin mengetahui Kementerian Luar serta Kementerian Komunikasi dan Multimedia menerangkan kepada rakyat bahawa isu itu, bukan isu agama.

“Saya bimbang rakyat Malaysia akan merasakan bila kita menyokong negara-negara itu, kita dianggap rasis kerana kita memperjuangkan Islam. Akhirnya kita tidak dilihat mempamerkan yang kita benar-benar memperjuangkan hak asasi manusia,” kata Hasanuddin.

Berita Harian X