Khamis, 10 Oktober 2019 | 1:23pm
Tan Sri Annuar Musa. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

BN umum calon PRK Tanjung Piai hujung bulan ini

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) akan hanya mengumumkan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai seminggu sebelum penamaan calon atau hujung bulan ini.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pengumuman akan dibuat dalam mesyuarat Majlis Dewan Tertinggi (MDT) BN pada 26 atau 27 Oktober ini di Menara Dato' Onn, di sini.

"Pengumuman calon akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi BN dalam mesyuarat, cuma dari segi pengurusan pada 26 atau 27 Oktober ini.

"Atau mungkin juga kita terpaksa tunggu PH (Pakatan Harapan) umum calon dan kita akan umum calon selepas itu," katanya di lobi Parlimen, hari ini.

Ditanya samada UMNO akan meletakkan calon, Annuar berkata, ia akan diputuskan berdasarkan kaji selidik yang dibuat kepada pengundi Tanjung Piai.

UMNO sudah selesai melakukan satu kajian sensitiviti dan kajian sikap pengundi di Tanjung Piai dan mendapati ada kepelbagaian pendapat.

"Ada yang nak UMNO sebab MCA tidak menang baru-baru ini, kenapa tidak cuba calon daripada UMNO. Ada juga nak MCA sebab kalah tidak banyak kenapa tidak beri peluang kedua kepada MCA," katanya.

Laporan kajian itu akan diserahkan kepada Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan keputusan adalah terletak di tangan beliau untuk menentukan parti komponen mana yang akan meletakkan calon.

Selasa lalu, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata MIC mahukan calon BN daripada MCA pada PRK Tanjung Piai yang akan diadakan pada 16 November ini.

Beliau berkata UMNO tidak boleh merampas kerusi parlimen itu dan menegaskan persefahaman yang terbina antara UMNO dan MCA di Tanjung Piai juga wajar dipertahankan.

PRK itu diadakan susulan penyandangnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menter, Datuk Dr Md Farid Md Rafik meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Sementara itu, mengulas mengenai Bajet 2020, Annuar berkata, pembangkang tidak membentangkan belanjawan bayangan tahun ini.

Belanjawan pembangkang diambil kira daripada segi dasar gabungan pembangkang yang sah dalam tempoh tiga tahun.

Tahun lalu, Barisan Nasional (BN) mengemukakan beberapa cadangan yang dipanggil ‘Inisiatif Ekonomi Rakyat’ untuk ‘diguna pakai’ kerajaan sebagai intipati dalam pembentangan Bajet 2019.

Ketika itu, Ahli Parlimen Rembau yang juga Menteri Kewangan bayangan BN, Khairy Jamaluddin berkata, antara inisiatif berkenaan adalah mengembalikan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) padar kadar tiga peratus berbanding enam peratus sebelum ini.

Berita Harian X