Isnin, 14 Oktober 2019 | 4:27pm
Guan Eng hadir pada Forum Belanjawan 2020 anjuran CGSCIMB, Maybank dan RHB Bank di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Peralihan kuasa: Mengapa ramai yang tak puas hati - Guan Eng

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim masing-masing selesa dengan perancangan peralihan kuasa yang sudah ditetapkan.

Justeru, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng tidak faham mengapa masih banyak pihak yang tidak puas hati mengenai perkara itu itu, sedangkan komitmen mengenainya sudah banyak kali dinyatakan.

“Mengapa semua orang risaukan mengenai proses peralihan kuasa sedangkan dua individu yang terbabit selesa dengannya.

“Kita ada Perdana Menteri yang berkata apabila sampai masanya, beliau akan menyerahkan ‘baton’ kepada Anwar. ...Anwar juga gembira dengan masa yang ditetapkan Perdana Menteri.

“Jadi, jika mereka berdua berpuas hati, kenapa orang lain tidak berpuas hati?” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP pada Forum Belanjawan 2020 anjuran CGSCIMB, Maybank dan RHB Bank di sini, hari ini.

Guan Eng mengulas soalan yang mendakwa isu peralihan kuasa mungkin memberi kesan terhadap keyakinan pelabur kepada ekonomi negara.

Jelas Guan Eng, Dr Mahathir dan Anwar konsisten berhubung soal peralihan kuasa sejak 18 bulan lalu.

Dalam keadaan ramai yang cuba membuat provokasi dan cuba memecah-belahkan mereka, mereka tetap konsisten. Saya positif mengenainya kerana kita dipandu Manisfesto PH,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pihak termasuk pemimpin dan ahli dalam PH mempersoalkan mengenai isu peralihan kuasa. Antaranya bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali yang mendakwa hasrat Dr Mahathir untuk berundur daripada jawatan Perdana Menteri sekurang-kurangnya tiga tahun lagi akan membunuh PH kerana Anwar tidak mempunyai masa mencukupi untuk berkempen dan mengatur rancangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR sebelum ini turut meminta kepimpinan dan ahli parti di bawah PH supaya berhenti membangkitkan isu peralihan kuasa kerana sudah ada perjanjian mengenainya sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Berita Harian X