Selasa, 15 Oktober 2019 | 4:57pm
ANWAR, Mohamed Azmin dan Saifuddin minum kopi di lounge Parlimen. - Foto ihsan FB Anwar Ibrahim

Anwar minum kopi dengan Azmin

KUALA LUMPUR: Apakah dakwaan bahawa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang tidak sehaluan sejak tahun lalu, sudah berakhir?

Hari ini, kedua-duanya bertemu dan berbincang hampir setengah jam di Parlimen dalam suasana mesra, yang turut dihadiri Setiausaha Agung parti, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Menerusi catatan di Twitter, Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson menjelaskan, beliau minum kopi bersama Mohamed Azmin dan Saifuddin di lounge Parlimen.

Mohamed Azmin turut ulang ciap catatan Anwar dan menjelaskan mereka membincangkan isu negara.

“Kami membincangkan usaha untuk menangani masalah kemiskinan dan menjayakan matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama,” katanya.

Anwar pula menafikan perjumpaan ringkas hari ini adalah mesyuarat rekonsiliasi.

Sebaliknya, kata Presiden PKR itu, pertemuan berkenaan adalah perjumpaan biasa dan lebih kepada membincangkan hal ehwal ekonomi negara.

Hubungan dua pemimpin itu dilaporkan dingin sejak akhir tahun lalu apabila Mohamed Azmin membantah tindakan Anwar melantik pencabarnya, Rafizi Ramli yang tewas pada pemilihan parti November lalu.

Selain itu, isu penyebaran video lucah menyaksikan wujud dua ‘kem’ dalam PKR dengan satu kem berpihak kepada Mohamed Azmin dan satu lagi kepada Anwar.

Ini membawa kepada beberapa pemimpin parti itu gagal menghadiri mesyuarat Biro Politik dan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) tanpa alasan munasabah.

Perkara itu dirujuk kepada Lembaga Disiplin parti apabila Ahli MPP, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid mengemukakan aduan secara rasmi kepada pihak berkenaan untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Berita Harian X