Selasa, 15 Oktober 2019 | 5:37pm
Datuk Seri Anwar Ibrahim (kiri) bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali ketika di Sidang Dewan Rakyat di bangunan Parlimen, hari ini. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Pertemuan Anwar, Azmin tak perlu dijadikan isu

GEORGETOWN: Pertemuan di antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di kafeteria Parlimen, hari ini, tidak perlu dijadikan isu kerana ia perkara biasa.

Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, berkata beliau sendiri juga pernah bertemu secara bersemuka dengan Anwar di Parlimen tetapi sekadar pertemuan biasa tanpa membincangkan apa-apa urusan rasmi.

“(Pertemuan itu) Biasa saja, tak jadi isu. Saya pun selalu berjumpa dengan Anwar di Parlimen.

“Tapi, apa yang saya minta adalah pertemuan dengan semua ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) yang dipilih,” katanya ringkas ketika ditemui selepas menghadiri perasmian Persidangan Asia Pasifik Urban Ke-7 (APUF-7) di Pusat Konvensyen SPICE, di sini, hari ini.

Terdahulu, pertemuan yang turut dihadiri Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, menimbulkan pelbagai tanda tanya berikutan kedua-dua pemimpin itu sebelum ini dikatakan tidak sehaluan.

Zuraida yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan sebelum ini turut bertegas mahu berjumpa Anwar sebelum menghadiri semula mesyuarat Biro Politik mingguan dan Mesyuarat MPP parti itu setiap bulan.

Katanya, pertemuan itu disifatkan penting bagi memberi pandangan dan merangka hala tuju masa hadapan parti berkenaan.

Sebelum ini, media melaporkan Anwar tidak bersedia untuk berganjak dengan tuntutan Zuraida yang mahu ‘mesyuarat rekonsiliasi’ diadakan antara dirinya dengan mereka yang tidak puas hati terhadapnya.

Berita Harian X