Rabu, 16 Oktober 2019 | 2:58pm
SETIAUSAHA Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Apa matlamat GERAKAN di PRK Tanjung Piai? - MCA

KUALA LUMPUR: MCA mempersoalkan matlamat GERAKAN meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, kali pertama selepas lapan PRK diadakan sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon, berkata ini kerana jentera GERAKAN tidak begitu aktif di Parlimen Tanjung Piai walaupun pernah memiliki kekuatan di Pulau Pinang, selain sebahagian Perak dan Johor.

Beliau tidak menolak kemungkinan kemunculan GERAKAN di Tanjung Piai bertujuan memastikan orang ramai tidak lupa kewujudan parti itu selepas keluar Barisan Nasional (BN) tahun lalu.

“Saya tidak pasti kenapa GERAKAN mahu gunakan pentas ini (PRK Tanjung Piai) untuk bertanding, mungkin parti itu melihat Pakatan Harapan ketika ini (PH) tidak stabil. Adakah mereka hendak membantu PH atau macam mana?

“Saya juga tidak pasti sama ada GERAKAN mempunyai perjuangan yang jelas khususnya membabitkan diri dalam PRK Tanjung Piai.

“Umum melihat PRK kali ini adalah kayu pengukur kepada pencapaian PH dan gerakan penyatuan ummah antara UMNO dan PAS,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata, MCA menghormati keputusan bekas rakan komponen untuk turut serta dalam PRK 16 November ini.

Katanya, sebagai sebuah parti yang berdaftar, GERAKAN mempunyai kebebasan untuk bertanding di mana-mana kerusi.

Ditanya mengenai calon BN, Sin Woon berkata, MCA belum menerima notis untuk menghadiri mesyuarat Dewan Tertinggi BN bagi membincangkan isu berkenaan.

BN akan hanya mengumumkan calon PRK Tanjung Piai seminggu sebelum penamaan calon atau hujung bulan ini. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 2 November sebagai tarikh penamaan calon.

Sabtu lalu, GERAKAN mengesahkan akan meletakkan calon di PRK Tanjung Piai.

Keputusan itu bakal menyaksikan pertembungan sekurang-kurangnya tiga penjuru pada PRK berkenaan.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan penyandangnya Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) meninggal dunia pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Allahyarham Dr Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi pada PRU-14 menewaskan penyandang dari BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng dan calon PAS, Nordin Othman.

Berita Harian X