Jumaat, 18 Oktober 2019 | 10:54pm
AHLI Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal

Ahli Parlimen Bukit Gantang nafi sertai PKR

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal, menafikan menjadi ahli PKR selepas setahun meninggalkan UMNO.

Dalam satu kenyataan malam ini, beliau menegaskan kekal Ahli Parlimen Bebas dan tidak menyertai mana-mana parti.

“Kenyataan media (kononnya) saya menyertai PKR tidak benar sama sekali. Saya tidak pernah memohon untuk menjadi mana-mana ahli parti selepas keluar UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada 27 Jun tahun lalu.

“Pihak yang mengeluarkan berita tidak benar ini seharusnya bertanggungjawab dan menarik balik laporan itu bagi membersihkan nama saya,” katanya.

Terdahulu, Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal, dilaporkan berkata keahlian Syed Abu Hussin diluluskan pada mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti itu hari ini.

Berita Harian X