Sabtu, 2 November 2019 | 8:18pm
DR Wan Azizah Wan Ismail yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR berucap pada lawatan beliau ke Pusat Daerah Mengundi (PDM) Rimba Terjun sempena kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai. - Foto BERNAMA

Jentera PH diarah tidak ambil mudah

PONTIAN: Jentera Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai diingatkan supaya tidak leka dan bersikap ambil mudah dalam usaha untuk memenangkan calon PH.

Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata jentera PH termasuk jentera PKR akan berusaha sedaya upaya untuk memenangkan calon PH, Karmaine Sardini.

“Kita memang mahu semua bersiap siaga sebab kita tahu tiap-tiap pilihan raya itu adalah satu ujian.

“Jangan ambil sambil lewa. Apapun, kita mestilah sedaya upaya untuk memenangkan calon kita, calon PH, Haji Karmaine,” katanya kepada pemberita di Pejabat PKR Cabang Tanjung Piai, di sini, petang ini.

Timbalan Perdana Menteri berkata beliau juga berharap pengundi di parlimen Tanjung Piai akan terus mengundi PH bagi menyambung legasi ahli parlimen yang terdahulu daripada PH.

“Kita merayu agar pengundi kita mengundi PH Haji Karmaine sebab dulu wakil rakyatnya daripada PH. Kita pun cari pengganti supaya kita dapat teruskan agenda kita ...sebab saya katakan dulu peralihan adalah lebih baik dari dahulu,” kata Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Majlis Penasihat PKR.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai persiapan jentera PH serta keyakinan Barisan Nasional untuk memenangi PRK dengan meletakkan bekas Ahli Parlimen Tanjung Piai dua penggal, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng.

Terdahulu, Dr Wan Azizah merasmikan pejabat cabang PKR Tanjung Piai.

Turut hadir Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Selain Jeck Seng, Karmaine juga ditentang oleh Wendy Subramaniam (GERAKAN); Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah atau BERJASA) dan dua calon bebas iaitu pengasas pusat tuisyen, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar, seorang ahli perniagaan yang mewakili Gabungan Teksi Se-Malaysia (GTSM), dalam pertandingan enam penjuru pada PRK Tanjung Piai.

Kerusi Parlimen Tanjung Piai sebelum ini disandang Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik yang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mewakili PH memenangi kerusi Parlimen itu dengan memperoleh 21,255 undi menewaskan Wee (20,731 undi) dan calon PAS Nordin Othman (2,962 undi).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 16 November ini sebagai hari mengundi manakala 12 November pengundian awal.

PRK itu diadakan selepas Dr Md Farid, 42, meninggal dunia akibat komplikasi jantung pada 21 September lalu. – BERNAMA

Berita Harian X