Khamis, 14 November 2019 | 8:57pm
P Prabakaran

Prabakaran tak akan lepas kerusi Parlimen Batu

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran menegaskan beliau tidak akan mengosongkan kerusi parlimen itu bagi memberi laluan kepada Naib Presiden PKR, Tian Chua kembali menjadi wakil rakyat kawasan itu.

Sebaliknya, Prabakaran akan terus berkhidmat kepada rakyat secara telus dan adil walaupun menerima desakan daripada pihak tertentu supaya melepaskan jawatan.

"Sebagai seorang Ahli Parlimen PKR, saya ingin menyumbangkan tenaga dan usaha untuk kebaikan parti serta merealisasikan agenda reformasi.

"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat secara telus dan adil tanpa melepaskan mereka di pertengahan jalan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam 14 badan bukan kerajaan (NGO) mencadangkan supaya Prabakaran mengosongkan kerusi itu bagi memberi laluan kepada Tian Chua bertanding semula di kawasan berkenaan.

Cadangan itu susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 November lalu yang membuat ketetapan pelucutan hak pencalonan Tian Chua sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) adalah tidak sah, sekali gus layak bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Mengikut Perkara 48(3) Perlembagaan, seseorang Ahli Parlimen akan hilang kelayakan selama lima tahun untuk bertanding dalam mana-mana pilihan raya mulai tarikh melepaskan jawatan.

Sementara itu, Tian Chua akan membuat keputusan selepas pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai berakhir, sama ada mahu 'mendapatkan semula' kerusi Parlimen Batu atau tidak.

Sambil mengakui banyak pihak mengharapkan dirinya kembali menjadi Ahli Parlimen Batu, beliau menganggap masih terlalu awal bagi dirinya untuk membuat keputusan.

"Saya perlu mempertimbangkan pelbagai perkara sebelum buat keputusan. Saya tidak menafikan ramai yang mengharapkan saya kembali ke Parlimen.

"Itu pandangan mereka, tetapi saya harus menilai keadaan terlebih dulu, baru buat keputusan. Setakat ini saya tidak boleh ulas. Tengoklah nanti, mungkin selepas PRK Parlimen Tanjung Piai selesai, baru saya fikir," katanya.

Tian Chua atau nama sebenarnya Chua Tian Chang kini menjadi Pengerusi Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan juga Penasihat Khas Menteri Kerja Raya.

Beliau pernah menjadi Ahli Parlimen Batu selama dua penggal sejak tahun 2008 hingga 2018.

Berita Harian X