Jumaat, 15 November 2019 | 5:53pm
MUHYIDDIN Yassin pada sidang media selepas perjumpaan bersama pemandu-pemandu kenderaan, petugas dan peraih undi (PACABA) Pakatan Harapan (PH) di Eco Rambah. - Foto BERNAMA
MUHYIDDIN Yassin pada sidang media selepas perjumpaan bersama pemandu-pemandu kenderaan, petugas dan peraih undi (PACABA) Pakatan Harapan (PH) di Eco Rambah. - Foto BERNAMA

Jangan takut keluar mengundi - KDN

PONTIAN: Kementerian Dalam Negeri (KDN) memberi jaminan polis sentiasa bersiap sedia memastikan keselamatan dan proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, lancar.

Menterinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata orang ramai tidak perlu bimbang dan takut untuk keluar menunaikan tanggungjawab mereka mengundi.

“Saya bagi jaminan selaku Menteri KDN, polis memberi tenaga yang cukup untuk menentukan perjalanan pilihan raya berjalan lancar, tidak ada yang luar biasa akan berlaku.

“Setakat hari ini pun keadaan cukup terkawal. Kita yakin keadaan keselamatan baik. Pengundi harus keluar tanpa rasa bimbang atau takut dengan keadaan di Tanjung Piai,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, pada 21 September lalu akibat komplikasi jantung.

Pada PRU-14 Mei tahun lalu, Allahyarham Md Farid memenangi kerusi itu dengan majoriti 524 undi dalam pertandingan tiga penjuru.

PRK Tanjung Piai ini adalah pilihan raya yang kesembilan diadakan sejak PH memenangi PRU-14 pada Mei tahun lalu.

Berita Harian X