Sabtu, 23 November 2019 | 5:35pm
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berucap semasa hadir merasmikan Konvensyen AMANAH Pulau Pinang Kali Ke-4 di Hotel Olive Tree Bayan Lepas. - Foto Danial Saad
Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) yang juga Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berucap semasa hadir merasmikan Konvensyen AMANAH Pulau Pinang Kali Ke-4 di Hotel Olive Tree Bayan Lepas. - Foto Danial Saad

AMANAH serah kepada PM untuk tentukan rombakan Kabinet

IPOH: Kepimpinan Parti Amanah Negara (AMANAH) hari ini menyerahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad untuk menilai prestasi mereka sebagai Menteri dan membuat rombakan Kabinet.

Presiden AMANAH, Mohamad Sabu, berkata rombakan Kabinet adalah hak Perdana Menteri untuk menentukannya.

"Dia (PM) boleh bila-bila masa rombak Kabinet. Jadi kita serah kepada dia yang akan menentukan dan kami ini akan menjalankan tugas seperti biasa. Setuju atau tidak setuju itu bukan hak saya, itu hak PM," katanya selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Pulau Pinang bersama Pengerusi AMANAH negeri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof di sini.

Mohamad, yang juga Menteri Pertahanan berkata, spekulasi rombakan Kabinet itu sudah mula tersebar sejak tahun lalu, dan ia bukan perkara baharu.

Rabu lalu, Dr Mahathir membayangkan akan melakukan rombakan Kabinet sebelum penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) tahun depan.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, rombakan Kabinet itu perlu dilakukan susulan kekalahan besar Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, baru-baru ini.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani turut menyuarakan pandangan sama iaitu hanya Perdana Menteri yang akan menilai prestasi semua Menteri Kabinet dan pihaknya akur dengan keputusan yang akan dibuat.

“Untuk menilai prestasi Menteri Kabinet ini, kita serahkan sepenuhnya kepada Tun (Dr Mahathir) sebagai Perdana Menteri dan tidak ada seorang pun dari kami (Menteri Kabinet) boleh mendakwa bahawa dialah yang paling bagus atau sebaliknya.

“Bila kita diamanahkan untuk memegang jawatan ini dan saya sendiri bersama rakan-rakan dari AMANAH sudah cuba berbuat yang terbaik,” katanya selepas merasmikan Konvensyen AMANAH Perak kali ke-4 di Ipoh, hari ini.

Menurut Salahuddin, dalam tempoh satu tahun setengah dilantik sebagai menteri, kebanyakan mereka sudah pun menjalankan kerja dengan bersungguh-sungguh.

“Kita belajar daripada kesilapan, kita sudah berjaya untuk membuktikan bahawa kita mampu menggalas amanah ini dan setelah itu ada ura-ura yang mengatakan ada rombakan Kabinet.

“Jadi saya serahkan sepenuhnya kepada Tun Dr Mahathir untuk menilai kerana beliaulah satu-satunya faktor yang akan menentukan sama ada berlakunya reshuffle (rombakan) atau pun tidak,” katanya.

Naib Presiden AMANAH, Mujahid yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula berkata, tidak timbul isu berkecil hati atau pun tidak sekiranya beliau dikatakan terbabit dalam rombakan Kabinet berkenaan.

"Benda yang belum berlaku lagi, jadi macam mana kita nak tahu? Boleh jadi kita gembira dengan rombakan Kabinet, kita pun tidak tahu.

“Macam-macam boleh jadi, (jawatan ini) bukan sebab kami yang mahu duduk, tetapi kami diberi mandat atas penilaian PM. Jadi, terserah pada beliau," katanya.

Dalam Kabinet Pakatan Harapan (PH) yang diumumkan Dr Mahathir selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), AMANAH dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masing-masing mempunyai lima Menteri dan empat Timbalan Menteri.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X