Khamis, 5 Disember 2019 | 11:02pm
KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. NSTP/Rasul Azli Samad.
KETUA Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Kongres Nasional Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) 2019 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh. NSTP/Rasul Azli Samad.

'Ketepikan perbezaan, utamakan parti'

AYER KEROH: Angkatan Muda Keadilan (AMK) perlu mengetepikan perbezaan antara mereka dengan mencontohi keterbukaan pimpinan PKR mencapai muafakat demi menjayakan Kongres Nasional PKR.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kesepakatan yang dicapai kurang 24 jam sebelum kongres bermula, membuktikan ahli parti itu boleh bekerjasama bagi mengukuhkan parti dan Pakatan Harapan (PH).

“Semalam, saya bersama di dalam mesyuarat Biro Politik khas sangat rendah diri dan terharu apabila pimpinan kita, Presiden dan Timbalan Presiden duduk bersama, berbincang merungkai dan mencari jalan bagaimana dapat bekerjasama dan memperkuatkan parti.

“Dalam tempoh beberapa bulan ini, pendirian antara kami mungkin ada perbezaan, tapi dalam soal parti dan kelangsungan kongres, kita letak semua itu ke tepi dan mengangkat parti bersama-sama,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kongres Wanita dan Angkatan Muda Keadilan 2019 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Naib Presiden, Zuraida Kamaruddin; Ketua Wanita, Haniza Mohamed Talha; Timbalan Ketua Wanita, Dr Daroyah Alwi dan Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham.

Mengulas lanjut, Akmal Nasrullah menegaskan, anggota AMK perlu sedar bahawa masalah yang perlu diselesaikan bukan berada di dalam parti, sebaliknya perlu berusaha menambat hati anak muda yang dilihat mula gusar dengan PH.

“Lihat ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) baru-baru ini, buat pertama kali kita lihat peti undi anak muda menunjukkan sokongan tidak memberangsangkan pada kita.

“Jangan kita masih tidak risau, saya risau PH tidak dapat merealisasikan impian kita bersama,” katanya yang mengenakan baju korporat PKR, berbeza dengan baju Melayu yang dipakai sebahagian besar pimpinan PKR di atas pentas.

Ketika ucapan itu disampaikan, hadirin juga bersorak ketika Akmal Nasrullah menyebut nama Muhammad Hilman, yang kedua-duanya dilihat tidak sehaluan sebelum ini, khususnya membabitkan isu perasmian Kongres AMK.

Semalam, satu pertemuan khas antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin yang berlangsung di Parlimen, memutuskan supaya Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu merasmikan serentak Kongres AMK dan Wanita PKR.

Ia susulan keputusan parti itu sebelum ini yang membatalkan jemputan kepada Mohamed Azmin bagi merasmikan Kongres AMK dan digantikan dengan Pengerusi Majlis Penasihat PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Keputusan itu mencetuskan perpecahan dalam kalangan AMK, apabila kumpulan diketuai Muhammad Hilman mahu Mohamed Azmin merasmikan kongres sayap itu seperti tradisi parti, manakala Akmal Nasrullah bertegas supaya Dr Wan Azizah merasmikannya, manakala Mohamed Azmin merasmikan kongres Wanita PKR.

Krisis kepemimpinan PKR memuncak apabila kumpulan yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin merancang mengadakan satu himpunan berasingan di sebuah hotel di ibu negara pada Sabtu dan Ahad ini, tarikh sama Kongres Nasional PKR berlangsung di Melaka.

Berita Harian X