Jumaat, 6 Disember 2019 | 8:21pm
TIMBALAN Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham. - Foto Aswadi Alias
TIMBALAN Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham. - Foto Aswadi Alias

'Kenapa cemar medan muafakat?' - Hilman

AYER KEROH: Seramai 20 anggota Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan lebih 500 perwakilan serta pemerhati sayap itu memilih untuk tidak hadir ke Kongres AMK petang tadi atas faktor keselamatan.

Timbalan Ketua AMK, Muhammad Hilman Idham, berkata keputusan dibuat susulan kekecohan ketika kongres itu berlangsung sehingga beberapa perwakilan tercedera, termasuk seorang yang dirawat di Hospital Melaka akibat dibaling batu.

Berikutan itu, Muhammad Hilman menegaskan, kehadiran mereka ke Kongres Nasional PKR 2019 esok, bergantung kepada jaminan daripada pimpinan parti bahawa ia akan berlangsung secara aman dan perwakilan dibenar masuk tanpa halangan.

Muhammad Hilman menggesa Ketua Sekretariat Kongres AMK yang juga Setiausaha AMK, Ahmad Syukri Che Ab Razab, bertanggungjawab sepenuhnya atas tindakan skuad keselamatan mengasari beberapa perwakilan dan pimpinan parti itu.

“Saya dan pimpinan AMK kesal, sedih kerana Kongres AMK yang bermula baik dan harmoni semalam yang dihadiri ribuan perwakilan dan pemerhati dicemari.

“Kami kecewa kerana ratusan perwakilan dan pemerhati yang sah tidak dapat masuk ke dewan kongres.

“Ahmad Syukri perlu bertanggungjawab dan beri penjelasan mengapa kongres tidak gunakan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) yang dipanggil ibu pejabat untuk jaga pintu masuk.

“Sebaliknya, dia menempatkan skuad yang tidak dikenal pasti dan sesuka hati menentukan siapa boleh masuk,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Muhammad Hilman berkata, pimpinan AMK akan membuat laporan polis dan laporan kepada Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) bagi menuntut Kongres AMK dibatalkan serta diadakan semula.

Mengulas kehadiran kumpulan berbaju hitam, Muhammad Hilman mengakui musykil bagaimana kumpulan itu yang sebahagiannya dipercayai di bawah umur, dibenar masuk ke dewan walaupun tidak memiliki pas, sedangkan perwakilan dan Exco AMK yang memiliki pas dilarang berbuat demikian.

“Kita anggap kongres jadi medan untuk bermuafakat dan bersatu khususnya selepas pertemuan Presiden dan Timbalan Presiden, tapi hari ini perkara ini berlaku.

“Saya yakin ini tindakan terancang,” katanya.

Berhubung dakwaan Ketua Skuad Keselamatan PKR, Gary Marimuthu, bahawa kekecohan bermula selepas cubaan membawa masuk bekas Pengerusi Tetap AMK yang dipecat, Mizan Adli Mohd Noor, Muhammad Hilman menegaskan, isu itu tidak sepatutnya berbangkit.

“Pertemuan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah bincang dan setuju supaya Mizan Adli memulakan kongres sebagai Pengerusi Tetap, sebelum dia dan dan Timbalan Pengerusi Tetap meletak jawatan bagi membolehkan pemilihan pengganti mereka dijalankan.

“Ini mengecewakan apabila Mizan Adli bukan saja dihalang, malah diheret keluar dewan,” katanya.

Beliau berkata Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil dan Ketua AMK, Akmal Nasrullah Mohd Nasir juga hadir ketika perbincangan antara Anwar dan Mohamed Azmin itu.

Berita Harian X