Sabtu, 7 Disember 2019 | 7:35pm
PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu ketika sidang media pada Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara di IDCC Shah Alam, Selangor. NSTP/Saddam Yusoff
PRESIDEN Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu ketika sidang media pada Konvensyen Nasional 2019 Parti Amanah Negara di IDCC Shah Alam, Selangor. NSTP/Saddam Yusoff

Mohamad Sabu terima hati terbuka dapat undi rendah

SHAH ALAM: Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, menerima dengan hati terbuka keputusan pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti malam tadi yang menyaksikan beliau berada pada kedudukan ketujuh daripada 27 Ahli Jawatankuasa (AJK).

Menteri Pertahanan itu, yang menerima 681 undi daripada 822 perwakilan, berkata beliau bersedia memegang sebarang jawatan dalam parti, termasuk pada peringkat bawahan.

“Saya sedia ke bawah (memegang jawatan peringkat bawahan),” katanya pada sidang media selepas menghadiri Konvensyen Nasional AMANAH 2019 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini, hari ini.

Pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti bagi sesi 2019-2022 menyaksikan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, memperoleh undi tertinggi dengan 786 undi, diikuti Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Mahfuz Omar (780).

Diikuti Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Salahudin Ayub (765); Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (755); Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli (725) dan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (687).

Kemudiannya, mesyuarat malam tadi membabitkan 27 AJK Pimpinan Nasional bersama Speaker, ketua tiga sayap dan 14 pengerusi negeri mengekalkan barisan kepemimpinan lalu apabila membuat keputusan sebulat suara mengekalkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden.

Mahfuz yang turut kekal jawatan Naib Presiden, berkata bilangan undi yang diterima Mohamad itu bukan isu besar.

“Kami yang mengekalkan beliau. Kami semua setuju kekalkan beliau sebagai presiden kerana beliau seorang yang berpengalaman dan berjaya memimpin parti dengan baik,” katanya.

Pada sidang media yang sama, Khalid yang juga Pengarah Komunikasi parti, berkata mesyuarat malam tadi secara sebulat suara bersetuju mengekalkan lima jawatan utama parti termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan tiga Naib Presiden bagi penggal akan datang.

Beliau berkata parti enggan menukar kepemimpinan separuh jalan, sebaliknya mahu menentukan wujud kesinambungan dan keberkesanan kepemimpinan.

“Tiada masalah dengan saf pimpinan yang lama dan saya rasa dalam perbincangan pada malam tadi, semua secara sebulat suara bersetuju mengekalkan penyandang dan kita terus memberikan sokongan untuk mempertingkatkan lagi usaha kita,” katanya.

Sementara itu, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja, menegaskan pengisian jawatan lain termasuk dua lagi Naib Presiden dan beberapa jawatan penting termasuk Setiausaha Agung dan Bendahari akan ditentukan dalam mesyuarat, Selasa ini.

Mengulas tuntutan wakil Sabah Sarawak dan Wanita yang mahu kuota Naib Presiden diberikan kepada mereka, beliau berkata ia akan dipertimbangkan.

Dalam isu berasingan, Mohamad menegaskan AMANAH akan berperanan mengukuhkan Pakatan Harapan (PH) bagi membolehkan gabungan parti kerajaan itu menjadi pasukan hebat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Tuntutan perwakilan ketika sesi perbahasan akan di bawa ke mesyuarat PH supaya diberikan perhatian kepemimpinan,” katanya yang mahukan propaganda penerangan dipertingkatkan dalam agensi kerajaan.

Berita Harian X