Isnin, 16 Disember 2019 | 1:13pm
Azhar (dua dari kanan) bersama Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupry Etok (kiri) menunjukkan peta kawasan PRK pada sidang media di Menara SPR, Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Azhar (tengah) menyerahkan watikah pelantikan Pegawai Pengurus PRK Parlimen Kimanis, Jupry Etok (kiri) dan diiringi Setiausaha SPR, Datuk Mohamed Elias Abu Bakar (kanan) pada sidang media di Menara SPR, Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

PRK Parlimen Kimanis 18 Januari depan

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 18 Januari depan sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, Sabah.

Hari penamaan calon pula ditetapkan pada 4 Januari manakala pengundian awal pada 14 Januari.

Pengumuman tarikh itu dilakukan oleh Pengerusi SPR, Datuk Azhar Azizan Harun selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi menetapkan tarikh dan persiapan PRK Parlimen Kimanis di sini hari ini.

Tempoh berkempen adalah 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon bertanding sehingga jam 11.59 malam pada 17 Januari depan.

Katanya, daftar pemilih Pilihan Raya yang akan digunakan adalah sehingga Suku Ketiga Tahun 2019 yang dikemaskini sehingga 9 Disember lalu.

Daftar pemilih itu mengandungi 29,664 pengundi yang terdiri daripada 29,654 pengundi biasa, sembilan pengundi awal dan seorang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Bagi urusan permohonan undi pos luar negara dan dalam negara, tarikh buka permohonan adalah bermula hari ini hingga 2 Januari depan.

“SPR menyasarkan bagi PRK ini 70 peratus pengundi akan keluar mengundi,” katanya.

Beliau berkata, SPR juga akan meneruskan penambahbaikan seperti menyediakan dua saluran khusus bagi pengundi yang berumur 60 tahun dan ke atas setiap pusat mengundi, selain memanjangkan tempoh masa pengundian selama 30 minit dari jam 7.30 pagi hingga 5 petang berbanding jam 8 pagi pada PRU-14.

“Sebanyak 10 saluran baharu ditambah bagi mengelakkan jumlah pengundi terlalu ramai di satu-satu saluran menjadikan keseluruhannya adalah 69 saluran berbanding 59 saluran pada PRU-14,” katanya.

Seramai 653 petugas pilihan raya akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK Parlimen Kimanis, dan 20 Pusat Mengundi yang mengandungi 69 saluran akan digunakan untuk kemudahan mengundi dan dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM3.6 juta.

PRK Parlimen Kimanis perlu diadakan berikutan Mahkamah Khas Pilihan Raya memutuskan pilihan raya kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebagai tidak sah dan batal.

Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Khas Pilihan Raya menolak kemenangan bekas Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman kerana mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya, sekali gus membenarkan petisyen dikemukakan bekas calon WARISAN, Datuk Karim Bujang.

Keputusan itu dikekalkan Mahkamah Persekutuan yang mendengar rayuan Anifah pada 1 Disember lalu, sekali gus mengesahkan kekosongan kerusi berkenaan.

Pada PRU-14, Anifah yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi itu dengan majoriti tipis 156 undi.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X