Isnin, 13 Januari 2020 | 8:48pm

Bekas ahli, pemimpin UMNO yang bersih saja layak bertanding - Dr Mahathir

HULU SELANGOR: Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan hanya bekas pemimpin UMNO yang bersih daripada rasuah dibenarkan bertanding dalam pemilihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU berkata, bekas ahli dan pemimpin UMNO pada prinsipnya tidak dibenarkan bertanding namun ia masih ada pengecualian.

"Secara umumnya mereka (bekas ahli dan pemimpin UMNO) tidak dibenarkan (bertanding), tapi berdasarkan kepada beberapa kes, kita akan benarkan.

"Mereka tidak boleh bertanding tapi kita beri pengecualian untuk beberapa kes, yang tidak dikaitkan dengan mana-mana kes jenayah termasuk yang korup," katanya selepas melawat Depot Dhaya Maju Infrastructure (Asia) Sdn Bhd (DMIA), syarikat bertanggungjawab terhadap projek Rehabilitasi Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDTR) di Serendah, hari ini.

Pada 8 Januari lalu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan BERSATU, Tan Sri Syed Hamid Albar berkata semua jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu 2019-2022 akan dipertandingkan dalam pemilihan parti yang pertama pada 4 April ini.

Dr Mahathir turut berkata, BERSATU sebelum ini menangguhkan pemilihan parti berikutan berdepan masalah pendaftaran ahli.

"Pendaftaran ahli BERSATU sedang berhadapan dengan pelbagai masalah," kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu lagi.

Berita Harian X