Jumaat, 17 Januari 2020 | 9:49am
Karim (tengah) hadir pada program kempen jentera BERSATU di Kampung Tahak, Membakut, semalam. - NSTP/Edmund Samunting

PRK Kimanis: Ahli BERSATU diingatkan usah dibayangi simpati terhadap UMNO

MEMBAKUT: Ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Sabah di Kimanis diingatkan supaya tidak dibayangi perasaan simpati terhadap UMNO berikutan pernah bersama parti itu dahulu, dalam membuat keputusan mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis, esok.

Timbalan Ketua Badan Pimpinan BERSATU Sabah, Datuk Masidi Manjun, menegaskan ahli BERSATU tanpa mengira sama ada pernah bersama UMNO atau tidak sebelum ini, perlu membulatkan sokongan kepada calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang.

Beliau berkata, BERSATU sudah menyatakan sokongan 100 peratus kepada WARISAN dan Karim pada PRK itu, sebagai bukti parti berkenaan mahu bekerjasama dengan WARISAN di negeri ini.

“Saya tahu ada ahli kita yang merupakan bekas UMNO dan simpati terhadap parti itu. Saya tidak hairan kerana kita semua di sini adalah bekas ahli UMNO, termasuk Karim.

“Namun, ini bukan pertandingan antara parti, sebaliknya ia bagi memastikan ada wakil rakyat yang dapat membawa pembangunan.

“Pengundi di Kimanis perlu memilih calon yang bukan saja boleh membuat kerja tetapi juga membawa pembangunan,” katanya ketika berkempen untuk Karim di Kampung Tahak dalam Pusat Daerah Mengundi (PDM) Mawao, di sini, semalam.

Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan menjelaskan, BERSATU perlu mengeratkan kerjasama dengan WARISAN bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) yang menjadi musuh politik utama pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

“Inilah peluang untuk kita menguatkan hubungan kedua-dua parti. Jangan kata tidak perlu kempen bersungguh-sungguh disebabkan yang sana (pembangkang) juga kawan.

“Kita mesti memastikan Karim menang dengan baik. Saya yakin Karim akan menang pada PRK ini. Bagaimanapun, kita mahu bukan saja menang tetapi juga majoriti yang besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua BERSATU Kimanis, Datuk Mohd Arifin Arif, menyeru pengundi Kimanis supaya menganggap undi kepada Karim seperti mengundi beliau.

“Saya tegaskan, pilihlah calon nombor dua (Karim). Kalau pilih Karim, sama juga macam pilih saya.

“Saya adalah murid dia dulu pada tahun 90-an ketika masih kecil lagi. Beliau ialah antara orang Kimanis yang bijak,” katanya yang juga ADUN Membakut.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X