Sabtu, 18 Januari 2020 | 11:28pm
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto BERNAMA

Rakyat Sabah belum rasai kebaikan PH

ALOR SETAR: Kekalahan Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis dianggap berlaku kerana pengundi di kawasan itu belum merasai kebaikan pemerintahan baharu di bawah Pakatan Harapan (PH), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, PH akan melakukan post mortem bagi menentukan sebab kekalahan dan mengetahui punca rakyat Sabah kecewa dengan pemerintahan ketika ini.

Pada masa sama, katanya, terdapat masalah pada kerajaan dalam menyampaikan perancangan yang sudah dilakukan, termasuk bagi menceritakan kembali kejayaan yang sudah dicapai kepada rakyat.

“Itu pendapat orang Sabah, mereka belum rasa kebaikan daripada pemerintahan baharu kerana segala yang kita lakukan perlu mengambil masa. Seperti kita buat dasar pertanian baharu. Kita tidak boleh buat hari ini dan dapat hasil esok.

“Namun saya yakin lama-kelamaan, rakyat Sabah akan sedar mereka akan mendapat pemerintahan lebih baik di bawah WARISAN,” katanya ketika ditemui selepas Program Makan Malam Santai 2020 Parlimen Kuala Kedah, di sini, malam ini.

PRK Kimanis menyaksikan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohamad Alamin, menewaskan calon WARISAN, Datuk Karim Bujang, dengan majoriti 2,029 undi.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH berkata, usaha mendampingi dan mengambil tahu masalah rakyat perlu dilakukan lebih kerap, termasuk membantu mengatasi masalah berkenaan.

“Kadang-kadang kita tak pandai berhubung dengan rakyat. Kita perlu cerita apa kerajaan sudah lakukan dan kejayaan dicapai kepada rakyat.

“Negara kita mengalih pemerintahan dengan cara licin tanpa peperangan atau rusuhan seperti yang biasa berlaku di negara lain, tetapi kerana tiada rusuhan, rakyat berpendapat ini perkara biasa,” katanya.

Jelasnya lagi, keadaan itu dapat dilihat di negara berdekatan yang berhadapan ketidakstabilan sehingga tercetus peperangan selepas pertukaran kerajaan.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X