Selasa, 21 Januari 2020 | 1:45pm
Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan tidak terlintas di fikirannya untuk melompat ke mana-mana parti lain. - Foto BERNAMA

Zuraida tidak terlintas lompat parti

PUTRAJAYA: Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin menegaskan tidak terlintas di fikirannya untuk melompat ke mana-mana parti lain.

Katanya ia kerana beliau berada dalam landasan yang benar dan tidak ada masalah di mana pun berada.

“Saya juga tidak terlintas dalam fikiran (untuk lompat parti lain), kerana apabila kita berada di landasan yang benar tidak jadi masalah di mana pun kita berada,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, di sini hari ini.

Semalam, tular gambar borang permohonan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) kononnya daripada Zuraida, namun dinafikan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Dakwaan itu timbul selepas Zuraida diberikan surat tunjuk sebab oleh PKR berhubung isu disiplin termasuk kritikan kerasnya terhadap kepemimpinan parti termasuk Presiden Datuk Seri Anwar Ibrahim pada satu majlis bulan lalu.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, supaya beliau bertenang dan menjawab surat tunjuk sebab, Zuraida berkata beliau juga sentiasa tenang walaupun ketika partinya dilanda masalah pada tahun 2004.

“Dia (Saifuddin) minta saya untuk tenang (menjawab surat tunjuk sebab), pada saya perkara tenang itu tidak ada isu kerana saya sangat tenang apabila parti saya dalam keadaan susah pada tahun 2004.

Lembaga Disiplin PKR sebelum ini dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka, Disember lalu.

Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali antara pemimpin yang memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ditanya sama ada pihaknya akan mengambil tindakan kepada individu yang menyebarkan surat permohonan palsu kononnya beliau ingin menyertai BERSATU, Zuraida berkata perkara itu terlalu remeh dan tidak perlu dilayan.

“Tak payah buat (laporan polis), polis ada banyak lagi perkara perlu diselesaikan, sebagai pemimpin berjiwa besar perkara ‘kenit’ (kecil) ini biasa dalam politik. Kita cuma harus tahu bagaimana untuk bertahan kerana kita berada di pihak benar,” katanya.

Mengenai peringatan Dr Mahathir Pakatan Harapan (PH) boleh menjadi kerajaan sepenggal jika berlaku pertelagahan dalamnya, Zuraida berkata ia amaran kepada kepemimpinan PH.

“Mereka ini seharusnya berhati-hati, sekiranya masih sayang (parti), mereka harus berubah. Kalau mahu teruskan (bergaduh), mana-mana kerajaan yang memerintah pun tidak akan kekal lama,” katanya.

Berita Harian X