Isnin, 27 Januari 2020 | 10:49pm
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU, Syed Saddiq Abdul Rahman. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Terima kasih ahli BERSATU Muar - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berterima kasih kepada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Muar, Johor susulan kemenangannya bagi jawatan ketua bahagian.

Syed Saddiq yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) BERSATU dalam kiriman di Instagram, menyifatkan kemenangannya itu sebagai sejarah, khususnya bagi sayap ARMADA.

Katanya, semua usaha, gerak kerja dan keutamaan akan dimanfaatkan bagi masyarakat di Muar dan BERSATU secara keseluruhannya.

“Saya sentiasa bersyukur dengan peluang untuk saya terus berkhidmat di Muo (Muar). Amanah ini adalah tanggungjawab dan saya akan pikul sebaik-baiknya.

“Terkenang saya akan semangat dan usaha rakan ARMADA dan BERSATU amnya, sejak mula BERSATU ditubuhkan hingga kini. Difitnah, diugut, dicaci maki, dilempar kerusi, dibaling kasut, segala onak dan duri ini telah kita lalui.

“Perit jerih tuan dan puan semua membuahkan hasil dengan kemenangan calon BERSATU dan HARAPAN pada PRU (pilihan raya umum) lalu.

“Terima kasih tidak terhingga saya ucapkan pada semua!” katanya yang juga Menteri Belia dan Sukan.

Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Muar turut mendoakan proses pemilihan BERSATU berjalan dengan lancar seterusnya menguatkan lagi parti berkenaan.

Terdahulu, Syed Saddiq diumum menang tanpa bertanding sebagai Ketua Bahagian Muar, menggantikan penyandangnya, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan.

Pemilihan Syed Saddiq sebagai Ketua BERSATU Bahagian Muar itu dijangka memberi kelebihan kepadanya untuk mempertahankan jawatan sebagai Ketua ARMADA kebangsaan.

Setakat ini, penerbit filem yang juga ahli perniagaan, Razalif Mohd Zain akan menentang Syed Saddiq bagi jawatan Ketua ARMADA pada pemilihan parti.

Kemelut Kerajaan

Berita Harian X