Isnin, 24 Februari 2020 | 12:18pm

271 taska, tadika di Shah Alam beroperasi secara haram

SHAH ALAM: Hanya 152 daripada 423 Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika), Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) dan pusat jagaan kanak-kanak di Shah Alam yang beroperasi di premis perumahan mendapat kelulusan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

Pegawai Perancang Bandar MBSA, Hazlin Ibrahim, berkata sejumlah 271 premis pula beroperasi tanpa kelulusan iaitu kebenaran merancang perubahan material penggunaan bangunan daripada perumahan kepada perniagaan.

“Kewujudan tadika atau taska terutamanya di kawasan perumahan baharu tumbuh seperti cendawan susulan terdapat banyak permintaan, bagaimanapun kebanyakan pengusaha beroperasi tanpa kelulusan MBSA.

“Berdasarkan inventori MBSA, terdapat 423 unit tadika serta taska di sekitar Shah Alam dan lebih daripada separuh iaitu 271 unit tidak mendapatkan kelulusan daripada majlis.

“Justeru, kita mahu pengusaha tampil membuat permohonan kepada MBSA sebelum membuka premis jagaan kanak-kanak ini bagi memastikan kebajikan dan keselamatan anak-anak yang dihantar ke premis mereka terjamin,” katanya pada sidang media selepas Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penguatkuasaan Tadika dan Taska di Setia Alam di sini, hari ini yang turut disertai pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Hazlin berkata, operasi berkenaan diadakan selepas banyak aduan diterima pihaknya mengenai peningkatan tadika dan taska terutamanya di kawasan Setia Alam.

Katanya, Setia Alam khususnya menjadi lokasi tumpuan pengusaha tadika dan taska susulan ia adalah kawasan perumahan yang paling besar di Shah Alam.

“Pada hari ini, kita memeriksa lima premis di Setia Permai dan Setia Impian untuk memberikan peringatan kepada pengusaha supaya segera memohon kelulusan daripada MBSA.

“Untuk premis yang tidak mendapat kelulusan, kita akan memberi tempoh 30 hari untuk mereka mengemukakan permohonan dan sekiranya ingkar, tindakan mahkamah boleh diambil mengikut Akta 172 iaitu Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976,” katanya.

PEGAWAI Perancang Bandar MBSA, Hazlin Ibrahim (dua dari kanan) ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penguatkuasaan Tadika dan Taska di Setia Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar
PEGAWAI Perancang Bandar MBSA, Hazlin Ibrahim (dua dari kanan) ketika ditemui dalam Operasi Bersepadu Pemantauan dan Penguatkuasaan Tadika dan Taska di Setia Alam, hari ini. - Foto Faiz Anuar

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X