Selasa, 25 Februari 2020 | 12:52pm

Terengganu tidak terkesan

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu di bawah pimpinan PAS yang menguasai 22 daripada 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tidak terkesan susulan kemelut politik ketika ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Prof Dr Mohd Afandi Salleh, berkata majoriti yang dimiliki kerajaan PAS ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menjadikan kerajaan negeri stabil.

Beliau yang juga pensyarah Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa, berkata tanpa kehadiran mana-mana wakil daripada parti komponen Pakatan Harapan (PH), krisis politik di peringkat Pusat dilihat tidak memberi kesan secara langsung terhadap pentadbiran kerajaan negeri.

Untuk rekod, baki 10 kerusi DUN dimiliki Barisan Nasional (BN).

“Begitu juga bagi kerusi Parlimen apabila enam daripada lapan kerusi adalah milik PAS, manakala masing-masing satu milik BN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“Jadi tidak akan berlaku apa-apa perubahan walaupun negara kini dilanda krisis politik dan kepemimpinan sedia ada boleh meneruskan tanggungjawab seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut mengenai beberapa negeri yang mungkin berlaku perubahan kerajaan negeri seperti Kedah dan Perak, Dr Mohd Afandi berkata, setiap negeri perlu melihat perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri masing-masing.

“Melihat kepada keadaan politik sekarang, saya berpendapat kita perlu yakin dengan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan kepemimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menentukan apa yang terbaik,” katanya.

Kabinet Malaysia 2020

Berita Harian X