Khamis, 2 April 2020 | 8:45pm

Pemuda UMNO tuntut peminjam LPPSA juga diberi moratorium

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) diminta turut memberikan penangguhan pembayaran pinjaman selama enam bulan kepada peminjam yang juga penjawat awam bagi meringankan beban mereka ketika penularan COVID-19.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata moratorium itu bertujuan mengurangkan beban rakyat yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini.

“Kami mengambil maklum keluhan dan harapan ramai penjawat awam termasuk persatuan-persatuan pekerja perkhidmatan awam yang mahu penangguhan sementara bayaran balik pinjaman perumahan LPPSA.

“Kerajaan khususnya LPPSA diharap dapat memberikan pertimbangan serius terhadap rayuan peminjam daripada kalangan penjawat awam yang berjasa pada negara selama ini,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Katanya, ini kerana kerajaan mengumumkan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (PRIHATIN) pada 27 Mac lalu.

“Kami berpendapat pemanjangan penangguhan bayaran balik LPPSA sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam dan meningkatkan pendapatan yang boleh dibelanjakan (disposable income) sekali gus merancakkan ekonomi negara sebagaimana yang digariskan dalam objektif PRIHATIN.

“Ternyata perbelanjaan domestik seperti makanan, utiliti dan barangan keperluan lain turut meningkat dengan pelaksanaan PKP yang turut memberi dampak besar kepada 1.7 juta penjawat awam,” katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X