Rabu, 3 Jun 2020 | 5:56pm

ARMADA maklum pemimpinnya ditahan SPRM

KUALA LUMPUR: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengesahkan pemimpin sayap itu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Ketua Penerangannya, Ulya Aqamah Husamudin mendakwa penahanan itu satu bentuk tekanan untuk mendiamkan ahli pergerakan itu yang sebelum ini bersuara dan berbeza pandangan dengan pimpinan atasan parti.

"ARMADA BERSATU berharap pihak SPRM akan melaksanakan siasatan yang adil dan telus terhadap pimpinan ARMADA tanpa berat sebelah.

"Kita tidak mahu Malaysia mengundur ke belakang dan kuasa dijadikan alat untuk menundukkan ahli parti yang berbeza pandangan dan berani bersuara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut sebab utama dan isu yang menyebabkan penahanan pemimpin berkenaan.

Sebelum ini, beberapa pemimpin ARMADA lantang mengkritik pimpinan tertinggi parti itu diterajui presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yasin kerana didakwa berkomplot dengan pemimpin UMNO untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

Dalam pada itu, Ulya turut mengingatkan ahli ARMADA sentiasa berani dan jangan tunduk pada sebarang tekanan.

Berita Harian X