Jumaat, 31 Julai 2020 | 12:54pm
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

PAS teruskan kerjasama dalam Perikatan Nasional

MARANG: PAS akan meneruskan kerjasama di antara parti dalam Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan ketika ini, sambil memperkasakan hubungannya dengan UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, menegaskan yang PAS tiada masalah untuk meneruskan kerjasama dengan parti dalam PN, termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Keputusan MN mempelawa BERSATU untuk menyertai pakatan itu bukanlah perkara yang mengejutkan.

"Namun, keputusan sama ada BERSATU menerima atau sebaliknya pelawaan itu, akan diputuskan Majlis Tertinggi parti," katanya ketika ditemui selepas mengimamkan solat sunat Aidiladha di Masjid Rusila, di sini, hari ini.

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang, mengulas kenyataan Setiausaha Bersama Sekretariat MN, Tan Sri Annuar Musa, yang membuat pelawaan kepada BERSATU untuk menyertai pakatan itu.

Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, dilaporkan berkata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang serta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Presiden BERSATU sudah membincangkan perkara itu sejak berbulan lalu.

Abdul Hadi mengulangi pendirian bahawa PAS akan terus bekerjasama dengan UMNO dan BERSATU.

Ketika diminta mengulas perkembangan di Sabah, Abdul Hadi menyifatkan krisis politik yang berlaku di Sabah bukannya perkara baharu.

Sebaliknya, jelasnya, kemelut politik yang berlaku di Sabah bukannya perkara baharu kerana negeri itu pernah mengadakan Pilihan Raya berasingan.

"Saya berharap kemelut politik yang sedang berlaku di Sabah, diselesaikan mengikut perlembagaan," katanya.

Berita Harian X