Ahad, 16 Ogos 2020 | 12:31am
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota merasmikan Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang. - Foto BERNAMA
MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah (tengah) yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota merasmikan Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang. - Foto BERNAMA

Saifuddin sahkan terima surat tuntutan pampasan daripada PKR

KUANTAN: Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Saifuddin Abdullah, mengesahkan sudah menerima surat tuntutan daripada PKR bagi menuntut pampasan RM10 juta daripada beliau.

Saifuddin yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, surat itu diterimanya pada minggu lalu, malah beliau difahamkan 'teman lain' juga sudah mendapat surat tuntutan berkenaan.

"Saya telah mendapat surat tuntutan RM10 juta daripada parti lama dan saya ada peguam yang kebetulan adalah pegawai tugas-tugas khas saya, iaitu Abdul Razak Ahmad.

"Kami yang mendapat surat ini juga sudah berbincang apa tindakan selanjutnya yang harus dilakukan.

"Oleh itu, kita tunggu pengumuman lanjut," katanya pada sidang media selepas merasmikan pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Pahang, di sini, semalam.

Sebelum ini, media melaporkan Bendahari Agung PKR, Lee Chean Chung, berkata parti itu akan mengeluarkan surat tuntutan kepada 19 Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR yang keluar parti supaya masing-masing membayar pampasan RM10 juta kepada parti berkenaan.

Chean Chung dipetik sebagai berkata, mereka yang disenaraikan perlu membayarnya dalam tempoh tujuh hari dan jika gagal, parti akan mengarahkan peguam untuk meneruskan prosiding bersesuaian bagi mendapatkan pampasan itu. – BERNAMA

Berita Harian X