Jumaat, 14 Julai 2017 | 3:02pm

PERHILITAN pasang perangkap tapir


DUA ekor tapir dewasa berkeliaran di Kampung Bukit Rangin. - Foto ihsan pembaca

KUANTAN: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang menggunakan umpan daun nangkap bagi memerangkap dua ekor tapir dewasa, berikutan aduan orang ramai yang melihat haiwan berkenaan berkeliaran di Kampung Bukit Rangin, di sini.

Pengarahnya Ahmad Azhar Mohammed berkata, usaha menangkap haiwan yang dilindungi sepenuhnya itu menggunakan perangkap besi ditempatkan di kawasan tapir berkenaan dilihat merayau-rayau mencari makanan berhampiran rumah penduduk, sejak minggu lalu.

Beliau berkata, penduduk tempatan mendakwa haiwan terbabit sering dilihat berkeliaran di kawasan rumah mereka pada jarak yang dekat di waktu pagi untuk mencari makan sejak sebulan lalu.

"Kita sedang berusaha menangkap dan memindahkan dua tapir itu bagi mengelak berlaku sebarang kejadian tidak diingini terhadap haiwan terbabit, dan pelbagai usaha lain turut dilakukan untuk menarik perhatiannya supaya masuk ke dalam perangkap.

"Saya mengingatkan kepada semua pihak supaya tidak mencederakan dan cuba menangkap haiwan berkenaan bagi mengelak mereka dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010," katanya di sini, hari ini.

Ahmad Azhar berkata, pihaknya juga menasihatkan penduduk di Kampung Bukit Rangin supaya tidak cuba menghampiri tapir terbabit walaupun ia kelihatan jinak kerana haiwan itu boleh bertindak agresif pada bila-bila masa.

Beliau berkata, disebabkan jumlah tapir di negara ini semakin berkurangan disebabkan pelbagai kes seperti mati dilanggar kenderaan, terkena jerat dan diracun, usaha konservasi dalam kurungan dilakukan PERHILITAN sejak beberapa tahun lalu.

"Antara usaha dilakukan PERHILITAN Pahang untuk mengurangkan kes kemalangan membabitkan tapir yang melintas jalan ialah dengan menambah jumlah papan tanda peringatan di kawasan lintasan haiwan terbabit di seluruh negeri.

"Kerjasama semua pihak dapat membantu mengelak lebih banyak kes kematian tapir berlaku, dan lapor segera kepada PERHILITAN jika melihat haiwan berkenaan berkeliaran di kawasan penempatan mereka," katanya.

Rabu lalu, media melaporkan kehadiran dua tapir di Kampung Bukit Rangin di sini, yang berkeliaran mencari makanan di kawasan rumah penduduk dan berharap pihak berkuasa segera menangkap haiwan itu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini, termasuk dibunuh oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Berita Harian X